PEKAN: Kontinjen Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) Pahang telah dinobatkan sebagai Johan Keseluruhan bagi program Alam Ria PASTI Peringkat Kebangsaan 2022.
Kontinjen PASTI Pahang mengungguli pertandingan dengan menjadi johan kepada empat daripada 11 kategori yang dipertandingkan iaitu kategori sajak (lelaki); sajak (perempuan); Bercerita (perempuan); dan Nasyid yang berlangsung di sebuah institut pengajian tinggi pada 28 Jan 2023.
Selain itu turut dipertandingkan ialah kategori azan, kalam Jamaie, pidato dan khutbah Jumaat melibatkan penyertaan seramai 716 peserta daripada semua negeri dan Wilayah Persekutuan kecuali Sabah yang tidak menghantar wakil.
Penutupan rasmi program telah disempurnakan oleh Ketua Sektor Pendidikan, Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP), Muhtar Suhaili.
Muhtar dalam ucapan perasmiannya berkata PASTI kini sudah berusia 39 tahun daripada penubuhannya pada tahun 1984 dan telah berjaya melahirkan tokoh-tokoh pimpinan negara.
“PASTI bermula pada tahun 1984. Kalau batch pertama sudah berumur 43 tahun sebab masuk PASTI umur empat tahun. Maksudnya sudah jutaan alumni-alumni PASTI yang telah kita lahirkan.
“Ramai alumni-alumni PASTI pada hari ini merupakan pimpinan negara. Ada yang menjadi Ahli Parlimen. Antara alumni paling terkenal ialah saudara Shahir Sulaiman yang pada hari ini merupakan Ahli Parlimen Bachok,” ujarnya.
Tambahnya, pada waktu ini terdapat seramai 8,948 orang guru dan 125,065 murid belajar di 2655 buah cawangan PASTI seluruh negara di mana Sarawak yang merupakan negeri terakhir menubuhkan PASTI kini sudah memiliki 52 cawangan.
Tambah Muhtar, tidak terhenti sekadar di peringkat pra-sekolah, PAS turut mengembangkan program pendidikannya ke peringkat sekolah rendah dengan penubuhan Sekolah Rendah Integrasi Islam (SRITI) pada tahun 2015 dan seterusnya ke peringkat menengah dengan penubuhan Sekolah Menengah Integrasi Teras Islam (SMITI) pada tahun 2017.
Sementara itu, Ketua Pengarah PASTI Malaysia, Damanhuri Dol semasa menyampaikan ucapan alu-aluan berkata, PASTI ditubuhkan bukan dengan niat untuk bersaing dengan mana-mana tetapi tetapi bertujuan untuk melahirkan generasi celik Al Quran.
“Bukan kita nak bersaing dengan tadika-tadika lain. Kita hanya nak menyumbang kepada masyarakat supaya kita boleh melahirkan generasi yang kita sebutkan sebagai generasi rabbani – generasi yang celik Al-Quran.
“Itulah yang kami keseluruhan warga PASTI Malaysia, kami usahakan, bermula dari generasi awal, kita tubuhkan hanya untuk itu. Kalau kita nak bersaing ni PASTI tak mampu nak bersaing dengan tadika-tadika lain yang lebih besar,” jelasnya.
Tambah Damanhuri, beliau turut menzahirkan kesyukuran kerana walau pun sejak daripada mula ditubuhkan oleh generasi awal sejak tahun 1980-an ia telah melalui pelbagai jerit payah tetapi setelah hampir empat dekad PASTI hari ini telah berkembang dengan sangat baik.
“Ini tidak lain dan tidak bukan melainkan mendapat sokongan daripada yang sangat padu daripada ibu bapa semua yang terus memberi kepercayaan kepada PASTI,” katanya. – HARAKAHDAILY 31/1/2023
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!