Paludan bakar lagi al-Quran, kali ini depan masjid Denmark

Rasmus Paludan yang memakai topi keledar sebelum membakar al-Quran di depan sebuah masjid di Denmark.
- Advertisement -

COPENHAGEN: Dalam satu lagi tindakan provokatif, ahli politik berhaluan kanan Denmark, Rasmus Paludan, membakar senaskhah kitab suci al-Quran Islam di hadapan sebuah masjid di Denmark, semalam.

Kejadian ini berlaku selepas Paludan yang mengetuai parti berhaluan kanan Denmark, Stram Kurs, membakar senaskhah al-Quran di luar Kedutaan Turkiye di Stockholm, minggu lalu dengan perbuatan itu mendapat perlindungan polis dan kebenaran pihak berkuasa.

- Advertisement -

Dia melakukan perbuatan keji itu di seberang masjid milik Persatuan Islam selepas solat Jumaat di daerah Dortheavej, Copenhagen.

Ahli politik berhaluan kanan itu membakar al-Quran dengan topi keledar di kepalanya di kawasan betul-betul di hadapan sebuah stesen minyak, yang dikawal anggota polis.

Paludan yang merenung ke arah umat Islam yang meninggalkan masjid selepas solat Jumaat, cuba menarik perhatian mereka dengan melambai bahan menghina Nabi Muhammad SAW.

Penduduk Islam kemudian menuju ke arah Paludan, tetapi beberapa pemimpin Islam menasihat mereka yang keluar dari masjid supaya meninggalkan kawasan itu bagi mengelakkan provokasi.

Polis Denmark menutup jalan berhampiran serta mengambil langkah keselamatan yang ketat di kawasan sekitar masjid.

Sementara itu, kelihatan sekumpulan anak muda Islam yang membawa air dan alat pemadam api di tangan mereka diberi amaran oleh pihak polis.

Paludan meninggalkan kawasan kejadian dengan pengawasan polis selepas berada di situ selama 40 minit. – ANADOLU

- Advertisement -