Sumbangan PAS dan Rakyat Malaysia diiktiraf HAMAS

- Advertisement -

ISU Palestin adalah antara isu utama yang diperjuangkan oleh PAS. Bagi PAS, pembebasan Palestin memberi makna besar kepada umat dan Dunia Islam kerana ia bukan sahaja perjuangan untuk membebaskan bumi Palestin dari penjajahan regim zionis Israel tetapi juga sebagai tanda keutuhan, kesatuan dan perpaduan umat dan Dunia Islam.

- Advertisement -

Dalam siri lawatan ke Timur Tengah baru-baru ini, Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa dan Hubungan Luar PAS Pusat bersama PAS Relief mengadakan kunjungan hormat ke atas Ismail Haniyeh, mantan Perdana Menteri Palestin yang juga Pengerusi Biro Politik HAMAS dan Khaled Mashaal, Ketua Jabatan Diaspora HAMAS di Pejabat HAMAS di Doha, Qatar.

Turut serta dalam kunjungan hormat tersebut adalah YB Ustaz Yusni Mat Piah, Pengarah PAS Relief , Tuan Hj Mohd Adram Musa, Bendahari PAS Relief dan Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa dan Hubungan Luar PAS Pusat , Saudara Muhd Khidir Izaidin, Setiausaha Lajnah dan Ustaz Ahmad Rashdan Ikhsan, SUK PAS Relief .

Pertemuan yang penuh bermakna ini disulami dengan bertukar pandangan dan perbincangan isu semasa Dunia Islam terutamanya berkaitan isu dan keadaan semasa di Palestin yang kelihatan amat tegang ketika ini terutamanya dengan penubuhan kerajaan baharu negara haram Israel yang diterajui oleh Benjamin Netanyahu dengan disertai kumpulan ekstrimis zionis berhaluan kanan.

Dalam pertemuan tersebut, Ismail Haniyeh menyatakan bahawa HAMAS mengiktiraf dan menghargai jasa besar bekas Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam memberi keadilan kepada Palestin selain memainkan peranan penting dengan menyatukan gerakan-gerakan Islam dan ketua-ketua kerajaan untuk membantu Palestin.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada PAS dan rakyat Malaysia yang senantiasa memberikan sokongan secara material dan moral dalam membantu rakyat Palestin serta kempen pembebasan Palestin di samping menonjolkan kekejaman regim zionis Israel yang berterusan menzalimi rakyat Palestin dengan melakukan pencerobohan di kawasan penempatan serta provokosi dengan menceroboh masuk ke Masjidil Aqsa.

Dalam perkembangan berbeza, Ismail Haniyeh turut menyatakan bahawa beliau mengikuti rapat dan memahami perkembangan politik yang sedang berlaku di Malaysia di samping mendoakan agar situasi politik di Malaysia menjadi lebih stabil.

Khaled Mashaal pula turut menyatakan bahawa HAMAS menghargai sumbangan dan bantuan yang telah diberikan oleh rakyat Malaysia melalui Aid4Palestine dan NGO-NGO di samping menyampaikan ucapan terima kasih kepada PASRelief, Aid4Palestine dan NGO-NGO dari Malaysia yang sentiasa membantu Palestin samada Gaza mahupun Al-Quds.

Beliau juga turut mengucapkan tahniah diatas kejayaan PAS dalam PRU lalu kerana dapat meningkatkan bilangan kerusi di Parlimen yang diharap dapat dimanfaatkan untuk kepentingan Islam secara keseluruhannya serta untuk Palestin selain menyampaikan salam kepada Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Presiden PAS dan mendoakan agar Presiden PAS terus sihat untuk memimpin ummah.

Semoga pertemuan ini mampu mengeratkan lagi hubungan antara PAS dan HAMAS, seterusnya mampu mempergiatkan lagi usaha – usaha PAS dalam membantu Palestin dan warganya tidak hanya dari sudut ekonomi dan kesihatan tetapi juga dalam perjuangan untuk membebaskan dan memerdekakan bumi Palestin dan Al Quds insyaallah.

Malaysia Sejatera.

YB DR MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa dan Hubungan Luar PAS Pusat.
ADUN Batu Buruk. – HARAKAHDAILY 28/1/2023

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!