Karnival Pembedahan Katarak dekatkan khidmat pakar kepada pesakit

Datuk Dr Nor Azimi Yunus
- Advertisement -

PEKAN: Karnival Pembedahan Katarak yang dijadualkan sebanyak enam siri di Pahang tahun ini adalah inisiatif yang diteruskan bagi mendekatkan perkhidmatan kepakaran kepada masyarakat selain mengurangkan masa pesakit menunggu giliran untuk menjalani pembedahan.

- Advertisement -

Pengarah Kesihatan negeri Datuk Dr Nor Azimi Yunus berkata menerusi karnival itu, pembedahan mata dapat dilakukan kepada ramai pesakit oleh pakar yang dibawa ke hospital berhampiran mereka.

“Sehingga Mac tahun ini, bilangan pesakit yang sedang menunggu untuk jalani pembedahan adalah kira-kira 533 orang, justeru bila ada karnival seumpama ini, kita dapat panggil ramai (pesakit) serentak untuk buat pembedahan sekali gus memendekkan masa mereka menunggu giliran.

“Melalui karnival ini juga, kita dapat menyediakan lokasi yang lebih dekat dan menjimatkan perjalanan serta kos pesakit,” katanya pada sidang media selepas merasmikan karnival itu di Hospital Pekan di sini hari ini.

Dr Nor Azimi berkata seramai 2,555 individu direkodkan menjalani pembedahan katarak tahun lepas dengan 273 daripadanya melakukan pembedahan menerusi empat siri karnival yang diadakan.

Beliau berkata Hospital Pekan dipilih sebagai lokasi siri pertama penganjuran karnival tahun ini dengan seramai 58 pesakit antaranya dari Rompin, Muadzam Shah dan Pekan dijadual menjalani pembedahan katarak pada hari ini dan esok.

Menurut Dr Nor Azimi, sembilan pakar oftalmologi, tujuh pegawai perubatan dan lapan kakitangan sokongan Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan terlibat dalam pembedahan itu.

“Daripada pesakit terpaksa ke Kuantan, kita bawa pakar ke Hospital Pekan yang lebih dekat dengan mereka, ini memang satu daripada usaha untuk dekatkan perkhidmatan kepakaran kepada masyarakat terutama yang berada di luar bandar.

“Saya berharap pesakit yang sudah menjalani pembedahan ini dapat memberi inspirasi kepada orang terdekat mereka yang mengalami masalah katarak untuk membuat pembedahan kerana selepas membuang selaput, ia dapat kembalikan kehidupan berkualiti kita,” katanya.

Siri Karnival Pembedahan Katarak seterusnya dijadual diadakan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh pada 14 hingga 16 Mac dan 22 hingga 24 Ogos, Hospital Kuala Lipis (12-14 Mei dan 13-15 Okt) serta HTAA (22-24 Sept).

Pada majlis perasmian hari ini, seramai tujuh pesakit turut menerima kanta sumbangan zakat Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) manakala lima lagi mendapat bantuan kanta daripada Jabatan Kemajuan Orang Asli. – BERNAMA

- Advertisement -