Southgate pernah pertimbang letak jawatan pengurus England

Kewibawaan Pengurus England dipertikai berikutan kegagalan menjulang trofi.
- Advertisement -

Gareth Southgate terfikir untuk meletak jawatan sebagai pengurus England berikutan kritikan menjelang Piala Dunia Qatar, tahun lalu, walaupun sebelum itu membawa pasukannya mara ke separuh akhir Piala Dunia 2018 dan final Euro 2020.

England bergelut sebelum tiba di Qatar dan diejek selepas tewas 4-0 di tempat sendiri kepada Hungary dalam Liga Negara-Negara Eropah pada Jun.

- Advertisement -

Ini menyebabkan Southgate ketika itu mempertimbangkan untuk mengumumkan Piala Dunia Qatar akan menjadi kejohanan terakhirnya untuk mendapatkan lebih banyak sokongan terhadap pasukannya.

“Saya tidak pernah mahu berada dalam kedudukan yang kehadiran saya akan menjejaskan pasukan,” katanya kepada BBC Sport semalam.

“Perkara terakhir yang jurulatih mahu ialah kehadiran anda memecahbelahkan dan menjejaskan prestasi pasukan. Satu-satunya kebimbangan saya ialah apabila anda merasakan mungkin terdapat perpecahan, iaitu antara apa yang peminat mahu dan kedudukan saya.”

Southgate mengetuai England ke suku akhir Piala Dunia di Qatar apabila tewas kepada Perancis dan pengurus itu mahu memastikan selepas kejohanan itu, terus kekal dengan jawatannya adalah perkara yang betul.

“Tersingkir pada suku akhir adalah sangat sukar, tetapi sokongan pemain dan penyokong pasti menaikkan semangat anda,” kata pengurus berusia 52 tahun itu.

Pada Disember lalu, Persatuan Bola Sepak (FA) Inggeris mengumumkan Southgate menandatangani kontrak baharu sehingga penghujung 2024.

“Pasukan terus menjadi lebih baik. Kami semua semakin yakin dengan apa yang kami lakukan,” Southgate berkata keputusan untuk kekal sebagai pengurus bukan sesuatu yang sukar dan dia berharap untuk mendapat peluang di Kejohanan Eropah di Jerman, tahun depan.

“Saya berada di sini selama 10 tahun, membangunkan segala-galanya. Jadi saya mahu memastikan saya masih segar dan dahagakan cabaran,” katanya. – REUTERS

- Advertisement -