Pelampau Islamofobia zahirkan kerakusan dan kedengkian

Bakar al-Quran

- Advertisement -

FIRMAN Allah S.W.T:

- Advertisement -

وَلَا تَسُبُّوا الَّذِيْنَ يَدْعُوْنَ مِنْ دُوْنِ اللّٰهِ فَيَسُبُّوا اللّٰهَ عَدْوًاۢ بِغَيْرِ عِلْمٍۗ كَذٰلِكَ زَيَّنَّا لِكُلِّ اُمَّةٍ عَمَلَهُمْۖ ثُمَّ اِلٰى رَبِّهِمْ مَّرْجِعُهُمْ فَيُنَبِّئُهُمْ بِمَا كَانُوْا يَعْمَلُوْنَ.

“Dan janganlah kamu mencela sembahan yang mereka (orang kafir) sembah selain Allah kerana mereka nanti akan mencela Allah dengan melampaui batas tanpa dasar pengetahuan. Demikianlah, Kami jadikan setiap umat menganggap baik pekerjaan mereka. Kemudian kepada Tuhan mereka (Allah S.W.T) tempat kembali mereka, lalu Dia akan memberitahukan kepada mereka apa yang telah mereka kerjakan.”

(al-An’am: 108)

Islam sebuah agama yang menganjurkan kedamaian. Islam melarang umatnya mencela sembahan agama lain walaupun ianya tidak benar di sisi Allah. Ini bagi mengelakkan timbulnya provokasi dan membangkitkan sensitiviti masyarakat yang akhirnya boleh membawa kepada pergaduhan, permusuhan dan perpecahan.

Namun saban tahun kita dapati terdapat golongan pelampau agama yang sengaja melakukan provokasi dan menimbulkan Islamofobia terhadap Islam sedangkan terbukti Islam yang sebenar tidaklah memusuhi masyarakat bukan-Islam bahkan Islam tidak memaksa penganut agama lain memeluk agama Islam.

Tindakan pihak pelampau agama di Sweden membakar al-Quran membuktikan kejahatan dan kedengkian mereka terhadap Islam dan umat Islam. Sedangkan umat Islam tidak pernah menimbulkan kekacauan dan tindakan subversif terhadap mereka.

PAS Johor menggesa umat Islam seluruh dunia agar bangkit mengutuk tindakan pelampau agama di Sweden dan memberikan tekanan kepada Kerajaan Sweden agar mengambil tindakan tegas terhadap kumpulan pelampau agama tersebut. Umat Islam mempunyai kuasa ekonomi yang besar untuk memboikot barangan keluaran negara Sweden sebagai tanda bantahan.

PAS Johor juga selari dengan PAS Pusat mendesak Kerajaan Malaysia mengambil tindakan tegas dengan memanggil duta Sweden ke Malaysia untuk meminta penjelasan mengenai perkara yang berlaku di samping mendesak Kerajaan Sweden mengambil tindakan terhadap pelampau agama terbabit.

Isu yang melibatkan kepentingan agama dan umat Islam ini hendaklah menjadi isu bersama seluruh umat Islam tanpa mengira batasan politik dan keturunan. Penghinaan terhadap al-Quran adalah penghinaan terhadap Allah S.W.T dan Rasul-Nya S.A.W. Justeru ianya perlu diberikan perhatian oleh seluruh umat Islam.

“Malaysia Sejahtera”

ABU IRFAN MUHAMMAD AL-URDUNI
Ketua Penerangan Badan Perhubungan PAS Negeri Johor – HARAKAHDAILY 25/1/2023

- Advertisement -