Kapal karam antara Korea Selatan dan Jepun; 14 ditemui 8 hilang

Pasukan penyelamat menemui bot yang dinaiki anak kapal di perairan antara Jepun dan Korea Selatan.
- Advertisement -

SEOUL: Kapal yang menyertai operasi mencari di perairan yang dilanda angin kencang antara Korea Selatan dan Jepun, menyelamatkan sekurang-kurangnya 14 daripada 22 anak kapal sebuah kapal kargo yang karam, hari ini.

Pegawai Korea Selatan memberitahu bahawa sembilan daripada yang diselamatkan masih tidak sedarkan diri, tetapi tidak mengesahkan sebarang kematian serta menyatakan bahawa anak kapal berkenaan akan dihantar ke Jepun untuk rawatan.

- Advertisement -

Kapal dan pesawat pengawal pantai Korea Selatan dan Jepun serta dua kapal kargo komersial terus mencari lapan anak kapal yang masih hilang, tetapi usaha itu diperlahankan oleh angin kencang dan ombak.

Pengawal pantai Jepun mengesahkan sekurang-kurangnya 13 anak kapal diselamatkan dan lima daripada mereka – semua warga China masih hidup.

Kapal Jin Tian seberat 6,551 tan tenggelam kira-kira tiga setengah jam selepas menghantar panggilan kecemasan kira-kira jam 11:15 malam tadi di Zon Ekonomi Eksklusif Jepun, kata jurucakap Pengawal Pantai Jepun, Shinya Kitahara.

Kapal itu yang didaftarkan di Hong Kong, membawa kayu karam kira-kira 160 kilometer di barat daya Nagasaki, Jepun dan kira-kira 150 kilometer di selatan Pulau Jeju, Korea Selatan.

Kapal Pengawal Pantai Korea Selatan yang menyertai operasi mencari anak kapal kargo yang karam

Kali terakhir kapten kapal itu berkomunikasi dengan pengawal pantai melalui telefon satelit sekitar 2:41 pagi, memberitahu bahawa anak kapal akan meninggalkan kapal itu, beberapa minit sebelum karam, kata Pegawai Pengawal Pantai Pulau Jeju.

Enam anak kapal diselamatkan oleh kapal Pengawal Pantai Korea Selatan, manakala sebuah kapal kargo mengambil lima orang dan pesawat Jepun mengambil tiga orang.

Menurut pegawai Korea Selatan dan Jepun, 14 anak kapal adalah warga China dan lapan dari Myanmar. Menurut laman web pengangkutan maritim, kapal itu meninggalkan Pelabuhan Klang di Malaysia pada 3 Disember lalu dan menuju ke pelabuhan Incheon di Korea Selatan. – AP

- Advertisement -