Kelantan bantu negara kurang import sumber makanan

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kelantan melaksanakan pelbagai usaha bagi memperkasakan sektor pertanian selaras matlamat kerajaan untuk mengurangkan sumber makanan yang diimport.

Lebih-lebih lagi tahun ini dijangka berlaku kemelesetan ekonomi dunia yang akan memberi kesan kepada mana-mana negara yang bergantung sumber makanan import.

- Advertisement -

Sehingga sekarang pengeluaran padi dan buah-buahan di Kelantan melebihi permintaan tempatan.

Begitu juga program Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TPKM) di Lojing, turut menjadi penyumbang pengeluaran sayur-sayuran bagi keperluan tempatan.

Malah pada awal 1990-an kerajaan negeri melalui Kumpulan Pertanian Kelantan Bhd (KPKB) mengeluarkan baja subsidi padi kepada petani yang terpinggir daripada mendapat baja cap dacing.

Setiap tahun kerajaan negeri mengeluarkan peruntukan khas bagi pengeluaran baja tersebut yang diurus KPKB.

Program itu diteruskan dengan melaksanakan Inisiatif Program Bantuan Baja bermula tahun 2010.

Sementara itu Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi, Teknologi Hijau dan Alam Sekitar, Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, bantuan baja padi dan baja organik bagi membantu petani miskin yang tidak mendapat bantuan baja daripada mana-mana pihak.

Katanya, setiap pesawah menerima baja foliar atau baja penggalak padi sebanyak satu botol bagi satu ekar.

“Manakala setiap petani menerima baja organik. Setiap beg seberat 25 kilogram. Setiap ekar diberi tiga beg.

“Jumlah maksimum sembilan beg diberi bagi keluasan tiga ekar untuk seorang petani,” katanya kepada Urus Setia Penerangan dan Komunikasi Negeri Kelantan. – HARAKAHDAILY 25/1/23

- Advertisement -