Chris Hipkins angkat sumpah Perdana Menteri New Zealand

Chris Hipkins dipuji cekap mengendalikan krisis Covid-19
- Advertisement -

WELLINGTON: Pemimpin Buruh, Chris Hipkins, mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri New Zealand baharu dalam satu majlis rasmi hari ini, berikutan peletakan jawatan Jacinda Ardern, minggu lalu.

Parti Buruh memilih bekas Menteri Polis dan Tindak Balas Covid-19, Hipkins, 44, untuk memimpin parti dan negara pada Ahad lalu. Ini berlaku selepas pengunduran secara mengejut Ardern, 42, yang memberitahu beliau tidak lagi berupaya untuk memimpin negara.

- Advertisement -

Beratus-ratus orang berkumpul di pekarangan Parlimen ketika Ardern keluar untuk kali terakhir, memeluk setiap Ahli Parlimen secara bergilir-gilir dengan ramai yang kelihatan beremosi.

Beliau kemudian pergi ke Rumah Kerajaan untuk menyerahkan peletakan jawatannya kepada wakil Raja Charles di New Zealand, Gabenor Jeneral Cindy Kiro.

Hipkins dan timbalannya, Carmel Sepuloni – orang pertama keturunan Kepulauan Pasifik memegang jawatan itu kemudian mengangkat sumpah, dalam majlis yang berlangsung hanya beberapa minit.

Hipkins yang setakat ini enggan mengulas mengenai dasar beliau akan mengadakan mesyuarat Kabinet pertamanya pada hari ini.

Dikenali sebagai “Chippy”, Hipkins terkenal dalam kalangan rakyat New Zealand kerana kecekapannya menangani Covid-19, walaupun dia mengakui beberapa kesilapan dalam mengendalikan wabak itu dan berdepan perjuangan sukar untuk mengekalkan kuasa.

Tinjauan 1News-Kantar yang dikeluarkan pada Disember lalu, menunjukkan sokongan terhadap Buruh jatuh kepada 33 peratus berbanding 40 peratus pada awal tahun ini.

Ini bermakna Buruh tidak akan dapat membentuk majoriti walaupun dengan rakan gabungan tradisional, Parti Hijau yang mendapat sokongan 9 peratus. Pembangkang, Parti Kebangsaan mendapat manfaat akibat kemerosotan Buruh. – REUTERS

- Advertisement -