Turkiye batalkan pertemuan tiga hala Sweden-Finland

Sweden dan Finland perlukan persetujuan Turkiye untuk sertai NATO.
- Advertisement -

ANKARA: Turkiye membatalkan mesyuarat mekanisme tiga hala dengan Sweden dan Finland yang dijadualkan pada Februari ini selepas protes hujung minggu lalu di Stockholm yang mendapat kecaman Ankara.

Mesyuarat yang akan berlangsung di Brussels ditangguhkan atas permintaan Ankara, kata TRT memetik sumber diplomatik Turkiye.

- Advertisement -

Jurucakap Erdogan berkata, awal bulan ini bahawa Setiausaha Agung NATO, Jens Stoltenberg akan turut hadir dalam mesyuarat itu.

Namun, sumber di Pejabat Presiden Turkiye berkata, negara itu tidak membatalkan mesyuarat itu, tetapi menangguhkannya. Sumber itu tidak menyatakan sehingga bila mesyuarat itu ditangguhkan.

Pejabat Presiden Turkiye enggan memberikan ulasan mengenai penangguhan itu.

Isnin lalu, Presiden Tayyip Erdogan berkata bahawa Sweden tidak seharusnya mengharapkan sokongan Turkiye untuk keahlian NATO selepas protes berhampiran kedutaan Turkiye di Stockholm hujung minggu lalu, termasuk membakar kitab al-Quran.

Tahun lalu, Sweden dan Finland memohon untuk menyertai Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara selepas Rusia menyerang Ukraine dan memerlukan sokongan semua negara NATO untuk tujuan itu. – REUTERS

- Advertisement -