Ronaldo bawa laba kepada Al Nassr dan Arab Saudi

Al Nassr raih keuntungan melalui penjualan jersi Ronaldo.
- Advertisement -

Kedatangan Cristiano Ronaldo boleh membawa `durian runtuh’ kepada kelab baharunya, Al Nassr dan Arab Saudi, ketika pemain antarabangsa Portugal itu bersedia menghadapi perlawanan pertamanya.

- Advertisement -

Ronaldo dinamakan sebagai Kapten Riyadh ST XI – pasukan yang terdiri daripada gabungan pemain Al Nassr dan Al Hilal yang akan beraksi dalam perlawanan pertunjukan menentang Paris St Germain (PSG) pimpinan Lionel Messi, hari ini.

Pakar kewangan bola sepak, Neil Joyce, berkata kontrak penyerang berusia 37 tahun bersama Al Nassr dianggarkan oleh media bernilai lebih 200 juta Euro (AS$215.76 juta) dengan perjanjian yang menarik perhatian dunia itu mampu menawarkan peluang kewangan lain.

“Bilangan peminat Al Nassr selepas Ronaldo menyertai kelab itu, berubah daripada tidak sampai sejuta orang kepada lapan juta orang dalam tempoh 10 hari,” kata Joyce yang merupakan Ketua Pegawai Eksekutif dan pengasas bersama Kumpulan CLV.

Beliau memberi nasihat kepada kelab bola sepak mengenai strategi terbaik untuk memaksimumkan pendapatan melalui penglibatan bersama peminat global.

“Terdapat peluang menjana keuntungan untuk Al Nassr. Dari segi penajaan, tiba-tiba kelab itu menjadi jenama global dengan jumlah peminat mencapai lapan juta peminat. Oleh itu, terdapat beberapa aspek kewangan yang boleh mereka manfaatkan.

“Ronaldo mempunyai pengikut yang ramai seperti selebriti terkenal lain. Jadi, terdapat peluang dari segi konten untuk Arab Saudi menjadi hab untuk televisyen dan bola sepak, serta mempromosikan negara itu sebagai destinasi pelancongan.”

Menurut Joyce, perpindahan Ronaldo ke Arab Saudi akan menarik lebih ramai pemain terkenal untuk datang dan memajukan Liga Profesional Arab Saudi dengan cara yang sama seperti impak Pele terhadap bola sepak Amerika Syarikat (AS) apabila menyertai New York Cosmos pada 1975.

“Ini lebih kepada kesan jangka pendek yang mereka boleh dapat bersamanya. Namun jika Arab Saudi mahu menjadi versi seterusnya Liga Bola Sepak Utama (MLS) AS. Fikirkan Pele,” katanya.

“Impak kedatangan Ronaldo boleh berlaku dari segi itu dan memandangkan kejayaan Piala Dunia Qatar, saya fikir sangat masuk akal untuk Ronaldo dan nilai yang boleh dibawanya pada masa depan.

“Anda akan melihat satu siri bintang bola sepak berprofil tinggi yang mungkin memasuki peringkat akhir kerjaya mereka akan berpindah ke Arab Saudi.” – REUTERS

- Advertisement -