LPF laksana tugas berdasar Akta Penapisan Filem 2002

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Lembaga Penapis Filem (LPF), Kementerian Dalam Negeri (KDN) melaksanakan tugas berdasarkan kepada Akta Penapisan Filem 2002 [Akta 620].

- Advertisement -

LPF dalam satu kenyataan, hari ini memaklumkan akta itu yang menetapkan fungsi penapisan filem dan bahan publisiti filem yang disiarkan, dipamerkan, disebarkan, ditayangkan, diedarkan atau dipancarkan secara fizikal (konvensional) kepada masyarakat umum di Malaysia, kecuali melalui internet.

Menurut kenyataan itu, di dalam mengeluarkan sesuatu keputusan ke atas penapisan kandungan filem dan bahan publisiti filem, LPF akan meneliti dan memberikan perhatian khusus berpandukan kepada Garis Panduan Penapisan Filem (GPPF) KDN 2010 yang merangkumi aspek-aspek keselamatan dan ketenteraman awam, keagamaan, sosiobudaya serta ketertiban dan ketatasusilaan.

Katanya, LPF mengambil maklum akan isu yang berbangkit bagi filem bertajuk ‘Pulau’ yang semakin mendapat perhatian dalam kalangan masyarakat umum di Malaysia setelah promosi filem itu dimulakan melalui perkongsian poster dan sedutan treler filem menerusi media sosial.

Tambahnya, treler filem ‘Pulau’ telah ditayangkan secara dalam talian (melalui platform internet), maka didapati bahawa kandungan yang ditayang tersebut adalah di luar bidang kuasa LPF.

LPF menyatakan ‘Pulau’ adalah sebuah filem seram dan bukan filem porno seperti yang digembar-gemburkan.

“LPF mendapati bahawa terdapat perbezaan antara kandungan treler yang dikongsikan di dalam media sosial dengan kandungan yang dikemukakan untuk penapisan,” ujarnya.

Menurutnya lagi, LPF sentiasa peka dengan tatasusila serta sosiobudaya masyarakat Malaysia dan melaksanakan penapisan filem sebagaimana yang ditetapkan dalam garis panduan.

“LPF menghargai pandangan dan maklum balas berkenaan dengan penapisan filem di negara ini.

“LPF juga sentiasa mengalu-alukan pandangan daripada semua pihak terutamanya pandangan yang bersifat konstruktif berdasarkan kepada keseluruhan kandungan sesuatu filem,” tambahnya.

Memetik laporan media sebelum ini, Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berpandangan treler filem itu tidak sesuai untuk ditayangkan.

Bagaimanapun, katanya beliau tidak boleh bercakap bagi pihak Lembaga Penapis Filem (LPF) yang berada di bawah KDN. – HARAKAHDAILY 19/1/2023

- Advertisement -