Di era PH-BN politik kampung digeger semula

- Advertisement -

KETIKA generasi muda mendambakan politik integriti, damai, adil dan matang, masih ada pihak yang mahu kembali ke era lama. Ini realiti politik yang sedang berlaku sekarang.

- Advertisement -

Ia bukan lagi omongan kosong. Juga bukan sekadar teori. Ramai bimbang parti yang menyongsong arus akan rebah. Namun, ia benar-benar berlaku di hadapan mata kita.

Masih baharu dan segar dalam ingatan. Peristiwa itu berlaku 19 November 2022. Mana-mana pemimpin yang cuba menafikan petunjuk itu akan disingkir dari arus politik perdana.

Malangnya banyak pihak seperti lupa. Begitu juga Umno sebagai paling berusia mudah lupa. Usianya sekarang hampir 77 tahun, nampaknya Umno makin nyanyuk.

Kita bangkitkan kisah lama bukan kerana apa. Ia sebagai ingatan kepada semua pihak. Bukan sekadar ingatan buat Umno. Sesiapa sahaja yang menyepi agenda integriti dan adil pasti akan dipinggirkan.

Umno hilang kerajaan pada Mei 2018 kerana isu tersebut. Isu 1MDB berligar di minda rakyat. Pakatan Harapan (PH) memanfaatkan peluru atom tersebut.

Akhirnya Umno dan BN hilang Putrajaya. Isu tersebut sepatutnya disemat di diari perwakilan Umno. Jadi ingatan anak cucu.

Namun, parti itu tetap sombong dan ego. Sekali lagi pemimpin yang dikaitkan isu integriti dibiarkan. Akhir rempuhan menimpa Umno pada PRU15.

Parti itu sekarang tinggal 26 kerusi parlimen. Sedangkan pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14, Umno masih memiliki 54 kerusi. Ramai simpati pemimpin muda yang ada wibawa dan integriti terus disisih Umno era sekarang.

Sekarang pintu untuk mereformasikan Umno ditutup rapat pada PAU minggu lepas. Jumlah 26 kerusi sekarang Umno masih agak bernasib baik biarpun menodai keputusan Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2021.

Pada 28 Mac 2021 Umno menegaskan menolak sebarang kerjasama dengan PKR, DAP dan Bersatu pada PRU15.

Presidennya Zahid Hamidi menyebut, “Perlu saya tegaskan di sini mengenai pendirian kita dalam menghadapi PRU15. Kita tetap dengan keputusan Majlis Kerja Tertinggi… ‘No Bersatu, No Anwar, No DAP’.

Isu tersebut pastinya akan terus diratib. Zahid jangan ingat generasi muda mudah lupa. Tidak. Biarpun Tok Zahid dan Tok Mat berjaya menyekat pencabar pada PAU nanti, namun kesan jangka panjang lebih berganda.

Situasi itu turut dikesan Prof Dr Ahmad Fauzi Abdul Hamid dari USM. Beliau menyifatkan tindakan Umno menutup ruang demokrasi boleh memberi kesan negatif pada jangka panjang.

Politik kamikaze

Katanya parti itu akan berdepan kehilangan deposit kepercayaan rakyat. Menurutnya tindakan tersebut seumpama politik ‘kamikaze’.

Rupa-rupanya politik alakamikaze bukan sekadar diterjemah di WTC, sebaliknya dilebarkan ke negeri diterajui PN.

Presiden Umno tiba-tiba menyebut di PAU minggu lepas, Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) serta Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) bakal ditubuh.

Menurutnya JPKK akan ditubuh di negeri sealiran kerajaan persekutuan. Manakala JPKKP pula bagi negeri yang tidak sealiran.

Menurut laporan media keanggotaan JPKK/JPKKP dicadangkan mengambil kira komposisi parti komponen kerajaan pusat.

Kata Timbalan Perdana Menteri terbabit, bagi mempercepatkan proses pelantikan, ketua bahagian (Umno) akan berbincang dengan pemimpin parti lain.

Dilapor juga ketua bahagian perlu menyusun serta menyiap cadangan keanggotaan JPKK/JPKKP. Nah, pintu berebut ‘uri’ politik di kampung mulai dibuka Zahid.

Pelik kan. Mengapa tiba-tiba ketua bahagian Umno yang diminta susun keahlian JPKK/JPKKP. Sedangkan suara Umno minoriti dalam kerajaan Anwar.

Sepatutnya DAP lebih dominan kerana memiliki 40 kerusi parlimen. Begitu juga PKR (31). Kalau diambil kira demografi itu ketua bahagian Umno tidak layak menyusun ahli JPKK.

Di saf kerajaan Anwar, Umno sebagai penumpang. Drevernya PKR. Lagi pun sebelum ini usaha Zahid menamakan Ahmad Jazlan dari Machang sebagai pengerusi Felcra ditolak Anwar.

Dan kali ini Zahid mengulangi drama serupa. Drama dipersembahkan itu dilihat berdepan situasi lebih sukar. Di Selangor, pemimpin Amanah awal-awal lagi memberi amaran.

“PH akan mempertahankan kesemua 40 kerusi DUN yang dimenanginya dalam PRU lalu. PH tidak akan memberi laluan kepada BN di kawasan tersebut,” lapor media.

Begitu juga DAP tetap mahu bertanding di kesemua kerusi yang dimenangi pada PRU 2018. PRU lepas PH menang 51 kerusi Dun di Selangor. Umno tanpa sedar menahkoda parti itu kembali ke era lama. – HARAKAHDAILY 19/1/2023

- Advertisement -