Kembalikan cahaya gemerlapan Islam di Selangor

- Advertisement -

CAHAYA gemerlapan Islam di Selangor. Ia umpama rindu dendam kepada sesuatu yang belum kesampaian. Terus menjadi impi-impian dan idam-idaman.

- Advertisement -

Rakyat Selangor pernah mengecapi cahaya gemerlapan itu tidak lama dahulu. Masa itu institusi masjid dan surau begitu meriah. Bukan sekadar meriah dengan cahaya lampu dan neon tetapi meriah dengan cahaya ilmu dan cahaya pengimarahan.

Ketika PAS menjadi sebahagian daripada Kerajaan Selangor kemeriahan itu sangat terasa. Kemeriahan dari dalam masjid sehingga ke luar, hatta sampai ke seluruh pelosok lurah dan kampung.  

Bermula dari masjid, aktiviti kebajikan, menyantuni armalah, anak yatim, ibu tunggal dan orang kepayahan bergerak tanpa henti. Semua orang terasa indahnya hidup bermasyarakat. Paksinya adalah masjid. 

Di dalam masjid dan surau itu sendiri, satu demi satu aktiviti imarah berjalan. Dari pagi hingga ke petang. Dari petang hingga ke malam. Dari malam hingga ke pagi. Begitulah pusingannya. Tiada henti. Meriah. 

Hari ini apa jadi? Surau masjid semakin hari semakin sepi. Melainkan tinggal saki baki. Bertungkus lumuslah para AJK surau dan masjid mengisi jadual program, dengan kuliah dan tazkirah. Namun sambutannya tidak cukup merangsang. Ada, bukan tak ada, tapi tidak sama seperti dulu-dulu. Ia seperti sebuah jasad tanpa roh. Rohnya sudah dicabut perlahan-lahan. 

Dari mana datangnya roh? Dari isi kuliah, dari para pengkuliah. Kuliah dan pengkuliah yang bergelumang dengan ilmu dan amal. Pengkuliah yang saban hari hidup dengan orang ramai. Pengkuliah yang menyentuh denyut nadi ramai. Dan pengkuliah yang disambut dengan jiwa dan hati oleh para peminatnya.

Malang, roh itu sudah dicabut perlahan-lahan. Pengkuliah yang bagus-bagus ditarik tauliah, pengkuliah yang popular dihadkan penyampaian, pengkuliah yang alim tidak lagi bebas bicara dengan ilmunya. Kuliah agama di Selangor umpama jasad sakit yang menunggu masa untuk mati.

Kepemimpinan PH Selangor tidak kisah itu semua. Mereka rela masjid dan surau terus punyai jasad. Tanpa roh pun tak apa. kemudian diberikan peruntukan, lalu dicanang ke seluruh pelosok negeri, mengatakan kerajaan negeri memberi sekian-sekian dana untuk surau dan masjid. Hasilnya? Roh tetap tiada.

ADUN-ADUN PH menjadi penghalang pengimarahan surau dan masjid. Gertak sana gertak sini. Hentam di Dewan Negeri, desak pihak berkuasa agama. Tujuannya hanya satu, tarik tauliah guru-guru agama, guru agama yang tidak sealiran dengan mereka. 

Sudahnya, yang menjadi mangsa adalah masyarakat yang cintakan surau dan masjid. Tapi ada PH kisah? Lagi jauh umat Islam dengan agama, lagi jauh umat Islam daripada pengimarahan surau dan masjid, lagi lama mereka boleh bertahan di puncak kuasa. Cukup-cukuplah. Kembalikan PAS ke tampuk pentadbiran Negeri Selangor.

USTAZ MOHD SHAFIE NGAH
Yang Dipertua PAS
Kawasan Bangi – HARAKAHDAILY 19/1/2023

- Advertisement -