Tragedi Stadium Kanjuruhan: Perbicaraan bermula

Suasana ketika rusuhan di Stadium Kanjuruhan, Malang, Indonesia
- Advertisement -

Mahkamah Indonesia di Surabaya memulakan perbicaraan semalam, terhadap beberapa anggota polis dan pegawai perlawanan yang didakwa cuai dalam antara kejadian rempuhan stadium bola sepak paling banyak meragut nyawa, Oktober tahun lalu.

- Advertisement -

Tragedi yang mengorbankan 135 orang di Stadium Kanjuruhan di Malang, Jawa Timur, menimbulkan persoalan mengenai piawaian keselamatan dan penggunaan gas pemedih mata, langkah kawalan orang ramai yang diharamkan oleh badan induk global bola sepak, FIFA .

Jurucakap Mahkamah Agung, Pranata, berkata perbicaraan dijalankan menggunakan sidang vcideo kerana faktor keselamatan.

November lalu, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Indonesia yang menjalankan siasatan terhadap kejadian rempuhan, mendapati polis melepaskan 45 das tembakan gas pemedih mata ke arah orang ramai pada penghujung perlawanan, menyebabkan panik yang membawa kepada rempuhan.

Penyiasat menyimpulkan bahawa penggunaan gas pemedih mata secara berlebihan dan sembarangan menjadi punca utama kejadian itu.

Suruhanjaya itu menyatakan bahawa pintu yang dikunci, penonton yang berlebihan dan kegagalan melaksanakan prosedur keselamatan dengan betul memburukkan angka kematian.

Peguam penganjur perlawanan dari Arema, sebuah kelab yang terlibat dalam perlawanan itu berkata, anak guamnya menafikan semua pertuduhan.

“Jika ada kecuaian, sepatutnya dikenakan terhadap polis yang melepaskan gas pemedih mata, bukan kami,” kata peguam, Sudarman.

Peguam pihak polis dan pegawai keselamatan yang sedang dibicarakan tidak membuat sebarang ulasan. – REUTERS

- Advertisement -