JPP: Pencabulan konsep federalisme

- Advertisement -

UCAPAN Presiden Umno yang memberi gambaran sukacita terhadap desakkan usul dari beberapa perwakilan perhimpunan agung parti itu baru-baru ini agar diwujudkan Jawatankuasa Pembangunan Persekutuan (JPP) di seluruh negeri yang tidak sealiran dengan kerajaan Persekutuan sangat mengecewakan.

- Advertisement -

Dengan ucapan keji itu, tahulah rakyat bahawasanya Umno masih tidak berubah daripada perangainya yang lama. Mereka masih cuba menjadi abang besar dengan pelbagai usaha untuk menyekat hak dan keperluan rakyat dengan unsur politik dendam seperti ini.

JPP bukanlah satu perkara asing lagi. Selama ini, Umno telah menggunakan kaedah ini untuk mengawal peruntukkan kerajaan Persekutuan daripada disalurkan terus kepada kerajaan negeri yang tidak sealiran dengan mereka.

Terengganu dan Kelantan adalah antara negeri yang sangat terkesan dengan kehadiran JPP. Antaranya saluran hasil royalti yang sepatutnya diberikan kepada kerajaan Terengganu sebanyak lima peratus telah diturunkan melalui JPP dan seterusnya diagihkan dalam bentuk wang ehsan untuk memancing undi bagi menjatuhkan kerajaan PAS ketika itu. Lebih teruk lagi di Kelantan, sehingga hari ini hak royalti mereka masih dinafikan lagi.

Pakatan Harapan (PH) juga mengambil pendekatan yang sama ketika memerintah selama 22 bulan dengan cubaan mewujudkan JPKKP bagi menjalankan kerja kotor mewakili kerajaan Persekutuan di negeri-negeri yang tidak sehaluan dengan mereka. Mujurlah PERIKATAN NASIONAL naik menjadi kerajaan dan menyekat usaha tersebut dan seterusnya memberi mandat kepada setiap kerajaan negeri dengan adil, malah turut memberi peruntukkan kepada ahli parlimen pembangkang sepanjang memerintah.

Tidak usahlah kerajaan Persekutuan bimbang tentang pengagihan yang akan dibuat sekiranya diberi terus kepada kerajaan negeri. Ini kerana empat kerajaan negeri yang tidak sehaluan dengan kerajaan Persekutuan itu ditadbir oleh PAS yang telah terbukti tiada kes rasuah yang melibatkan salah guna wang seperti yang ada dalam BN dan PH.

Sekiranya tindakan ini dilaksanakan, ia akan mencerminkan kegagalan kerajaan pimpinan Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang sentiasa melaungkan isu integriti dan keadilan buat semua. Apatah lagi pernah memberi jaminan bahawa beliau adalah PM untuk semua rakyat di Malaysia. Adakah semua itu retorika dalam politik semata-mata, atau ucapan populis untuk menarik sokongan rakyat sahaja?

Tindakan ini juga sudah pasti akan mencabul hak federalisme dan autonomi kerajaan negeri yang tidak sealiran dengan kerajaan Persekutuan. Rakyatlah yang telah memilih dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) siapa yang berhak mentadbir di kawasan masing-masing, maka janganlah ditekan rakyat seolah-olah menghukum mereka.

Janganlah juga dianaktirikan negeri-negeri yang tidak sehaluan dengan kerajaan Persekutuan kerana ia tidak memberi apa-apa faedah kepada status kerajaan Persekutuan sedia ada, malah ianya akan menjadi sebab rakyat bangkit kerana ketidakadilan yang berlaku kepada mereka.

Seharusnya kerajaan Persekutuan sebagai seorang ayah perlu bersifat matang dengan memberikan hak yang sewajarnya kepada negeri-negeri yang ada dalam negara dengan seadilnya agar kemajuan akan terus dapat dipacu dan rakyat mendapat pembelaan sewajarnya.

MUHAMMAD IRSYAD SYAFIQ
Ketua Penerangan Pemuda PAS Terengganu
17 Januari 2023 – HARAKAHDAILY 17/1/2023

- Advertisement -