PAS, PN tumpu 37 kerusi DUN Selangor

Dr Yunus menyampaikan sumbangan sempena sambutan Tahun Baharu Cina.
- Advertisement -

KUALA LANGAT: PERIKATAN NASIONAL (PN) mempunyai peluang lebih cerah sekurang-kurangnya di 30 kerusi DUN di Selangor pada Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.

- Advertisement -

Pesuruhjaya PAS Selangor Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, senario yang berlaku pada Pilihan Raya Umum di parlimen Padang Serai, Kedah memperlihatkan lonjakan kemenangan begitu besar kepada PN.

Katanya, ia tidak mustahil berlaku kalau strategi betul dan penerangan kepada orang bukan Islam lebih tepat.

“Ditambah pula kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang ada sekarang mengamalkan budaya matlamat menghalalkan cara.

“Begitu juga isu yang berligar dalam kalangan rakyat termasuk kenaikan harga barang boleh membantu PN dalam misi menawan Selangor,” katanya di sini.

Dr Ahmad Yunus yang juga Ahli Parlimen Kuala Langat dan Adun Sijangkang berkata, dengan mengambil kira perkembangan yang berlaku itu PAS menyasarkan 30 kerusi DUN.

Malah katanya di DUN Selangor ada 37 kerusi yang mempunyai jumlah pengundi Melayu lebih daripada 55 peratus.

“Jika betul strateginya kerusi tersebut memberi peluang lebih cerah untuk kita mendapat kemenangan.

“Sebelum ini kita pernah menang 16 DUN. Daripada jumlah tersebut ada 4 DUN kalau jumlah undi PH dan BN dicampurkan, PN masih boleh menang.

“Ada 2 DUN yang pengundi Melayu antara 50-55 peratus dan selebihnya itu kurang daripada 50 peratus,” ujarnya.

Menurutnya juga tumpuan PAS dan PN di 37 kerusi DUN yang mempunyai jumlah pengundi Melayu lebih 55 peratus.

Kata beliau berdasar perkiraan itu sekiranya PN mendapat 29 daripada 56 kerusi DUN Selangor bermakna PN sudah mendapat ‘simple majority’.

“Saya menekankan dalam PRN Selangor, kita mempunyai peluang yang baik untuk menang. Fokusnya meletakkan calon yang boleh menang.

“Ini antara beberapa pertimbangan yang perlu kita fikirkan. Saya katakan politik itu dinamik bermakna perbincangan demi perbincangan harus diadakan,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 17/1/2023

- Advertisement -