Selepas DAP, PKR pula cerca Umno

- Advertisement -

PERSEPAKATAN Kerajaan Campuran PH-BN terus bergolak. Pada satu peringkat Umno yang cuma punya 26 kerusi Parlimen tetapi dilantik ke jawatan Timbalan Perdana Menteri terlalu terhutang budi pada Pakatan Harapan khasnya PM10 Anwar Ibrahim kerana sudi menerima mereka sebagai rakan kongsi membentuk kerajaan.

- Advertisement -

PH khasnya pun sebenarnya tertekan kerana tanpa menunggang Umno mereka pun tidak mungkin menjadi PM. Jadi ianya win – win bagi keduanya. Lantas berkahwinlah dua musuh politik yang berbeza ini semata-mata kerana kuasa.

Sepanjang kempen PRU15 mereka berperang sakan, memaki hamun dan serang-menyerang antara satu dan lain. Anwar dan kumpulannya mendakwa BN dan Umno adalah parti penyamun, kaki sakau, ketua perompak sambil mendendangkan di mana-mana sahaja lagu ‘Hoi hoi ya hoi kami semua penyamun’.

Zahid dan kumpulannya pula mendakwa Anwar dan PH ‘kaki kencing’ menipu rakyat selama 22 bulan memerintah. DAP didakwa ekstrem dan rasis.

Tapi selesai PRU mereka berpelukan kerana tanpa berbuat demikian mereka tidak akan peroleh kuasa. Ahli dan penyokong serta pengundi garu kepala sambil ternganga. Ketua -ketua parti berebut membahagi-bahagi kuasa.

Tak mengapalah segalanya telah berlaku. Namun rupanya rumah siap pahat masih berbunyi. Bukan sahaja ahli dan akar umbi sahaja malah sesama pimpinan pun rupanya rimas dan sukar menerima perkahwinan ini.

Sebelum ni saya memuat naik posting berkenaan celaan  pemimpin DAP P. Ramasamy terhadap Presiden Umno. Rupanya api ketidakpuasan hati terhadap Zahid dan Umno panas membara. Itu DAP.

Ini PKR pula. Ahli Parlimen PKR Pasir Gudang Hassan Abd Karim pula melahirkan ketidakpuasan hati beliau. Katanya:

“Pada hemat saya, Barisan Nasional (BN) – Umno dari kelompok kes jenayah rasuah dan pecah amanah ini boleh diibaratkan sebagai virus yang sedang menjangkiti Perdana Menteri, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Pakatan Harapan (PH).

“Tiada vaksin untuk menawar racun toksik ini. Jalan kesudahannya mungkin maut dan mati,”.

PKR dakwa BN Umno adalah virus yang sedang menjangkiti PM10 dan PH serta PKR. 

BN Umno dianggap racun toksik yang mampu membunuh PH dan PKR. Begitu sekali hinanya BN Umno di mata orang-orang PKR.

DAP cela PKR maki, beginikah caranya berkawan? Hakikatnya Umno yang memberi talian hayat pada PH tetapi Umno pula dianggap virus yang boleh membunuh.

Saya tidak tahu apakah ahli-ahli akar umbi Umno yang bertungkus-lumus mempertahankan parti mereka boleh berdiam diri menerima asakkan bertalu-talu dari DAP dan PKR ini khasnya terhadap pemimpin dan parti mereka.

Zahid mungkin sudah selesa dengan jawatan Timbalan Perdana Menteri dan tidak mahu ambil pusing atau membesarkan pergeseran ini tetapi pimpinan dan ahli-ahli Umno lain bagaimana?

Biarkan DAP dan PKR menghina, merendah-rendah maruah dan harga diri Umno?

Terpulanglah, pastinya pejuang sebenar Umno yang telah menebus kemerdekaan negara dengan darah dan air mata tidak sesekali akan mengizinkan parti Melayu ini dihina begitu rupa. Sahabat dalam Umno hari ini bagaimana?

ROSLAN SHAHIR MOHD SHAHIR – HARAKAHDAILY 17/1/2023

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!