Amalan ziarah beri manfaat yang amat besar

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Amalan ziarah atau kunjung mengunjung memberi manfaat yang amat besar, kata Ahli Parlimen Kuala Krau, Ustaz Kamal Ashaari.

- Advertisement -

Menurutnya, amalan ziarah-menziarahi dan mengadakan rumah terbuka mempunyai banyak hikmah dan kelebihan yang sangat bermakna bagi umat Islam.

Beliau menambah, ini terutama sekali dalam menghubung dan merapatkan lagi ikatan persaudaraan sesama Islam.

Katanya lagi, agama Islam menyeru umatnya agar sentiasa berusaha untuk memperbaiki dan mempertingkatkan ikatan silaturahim dan ukhud sesama insan, apatah lagi sesama Islam.

Ini, ujarnya sebagaimana firman Allah Subhanahu Wata’ala dalam Surah Al Hujurat ayat 10 yang bermaksud: “Sesungguhnya orang-orang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat”.

“Amalan ziarah-menziarahi atau kunjung mengunjungi memberi manfaat yang amat besar.

“Amalan ziarah membolehkan yang jauh menjadi dekat, yang renggang menjadi rapat, yang bersengketa menjadi damai dan sebagainya,” ujarnya menerusi hantaran di Facebook beliau, hari ini. Ini susulan beliau mengadakan aktiviti menziarahi penduduk di Felda Jengka 14.

Maka, katanya dengan amalan ziarah akan terbentuklah satu ikatan kasih sayang yang dapat mengeratkan sesama insan serta mengeratkan hubungan silaturahim.

“Dengan hubungan silaturahim ini kita akan dapat saling kenal-mengenali antara satu sama lain, hormat-menghormati, saling kerjasama dan faham-memahami sesama kita,” ujarnya yang juga Mudir Kompleks Tahfiz Al-Quran Al-Qaradhawi (KOMTAQ) di Kampung Kuala Kerdau, Temerloh. – HARAKAHDAILY 17/1/2023

- Advertisement -