Sukar dapat telur, makanan di kantin sekolah naik harga

Kerajaan diharap menyelesaikan masalah kenaikan harga makanan di sekolah dari akar umbi yang ada kaitan dengan kekurangan bekalan bahan mentah di pasaran terutama telur. (FOTO HIASAN)
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kesukaran yang dialami pengusaha kantin sekolah dalam mendapatkan bekalan bahan mentah termasuk telur, gula dan minyak di pasaran perlu diselesaikan oleh kerajaan yang dikatakan antara punca berlaku kenaikan harga jualan makanan di kantin sekolah sehingga mencecah 50 peratus.

- Advertisement -

Presiden Pertubuhan Kebajikan Pendidik Ummah Malaysia (PENDIDIK), Normala Sudirman yang mengulas kenyataan Presiden Persatuan Pengusaha Kantin Sekolah, Khairuddin Hamzah tentang perkara berbangkit sehubungan itu menaruh harapan kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan pihak kerajaan.

“Harapan kami agar dapat dirangka semula strategi terbaik bagi memastikan para ibu bapa tidak terbeban dengan kenaikan harga jualan makanan di kantin sekolah yang  telah meningkat sehingga 50 peratus ketika sesi pembukaan sekolah yang bermula pada 3 Januari lalu.

“Agar pada masa yang sama juga, pengusaha-pengusaha kantin dapat berniaga dengan selesa serta menyambung operasi mereka tanpa menjejaskan sebahagian aliran tunai mereka,” jelasnya.

Normala Sudirman

Menurutnya, sekiranya pengusaha kantin terputus bekalan telur misalnya, maka mereka akan kekurangan menu untuk menjual makanan yang mampu dibeli oleh murid-murid sekolah.

“Oleh itu, mereka terpaksa memikirkan menu jualan lain yang tidak menggunakan sumber telur,” tegasnya.

Selain itu, katanya, kenaikan harga makanan disebabkan para pengusaha kantin sekolah ingin menampung kos operasi yang semakin meningkat buat masa kini. 

“Kerajaan juga perlu memahami bahawa di kantin sekolah, pengusaha kantin telah terikat dengan peraturan makanan dan minuman yang boleh dan tidak boleh dijual. 

Beliau menjelaskan bahawa kantin mempunyai garis panduan, sekolah dan kontraktor (pengusaha kantin) tertakluk dengan garis panduan berkenaan.

“Jika ada dakwaan kenaikan harga, mereka mesti rujuk kontrak yang telah dipersetujui dan garis panduan yang dibuat dengan sekolah dan pemegang taruh,” katanya. – HARAKAHDAILY 13/1/2023

- Advertisement -