KUBANG PASU: Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor, enggan mengulas lanjut berkenaan kes saman fitnah Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim terhadapnya memandangkan perkara itu sudah dijawabnya pada hari kes terbabit difailkan.
“Saya jawab terus pada hari kes saman itu difailkan. Bagi saya, naratifnya hanyalah untuk mengekalkan momentumnya sahaja. Dia yang saman, selepas itu nak suruh orang jawab,” katanya ketika ditemui pemberita pada sidang media, di sini, pada Khamis.
Beliau yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Kedah seterusnya berkata, beliau juga telah memfailkan penyataan pembelaan di Mahkamah Tinggi Alor Setar.
Semalam, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu dilaporkan oleh sebuah media tempatan mengarahkan agar Sanusi memfailkan pernyataan pembelaan dalam kes sama terbabit.
Beliau sebelum ini memfailkan saman terhadap Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat itu berhubung ceramahnya yang didakwa kononnya berunsur fitnah yang disiarkan secara ‘live’ melalui laman sosial bekas Ahli Parlimen Tambun, Faizal Azumu pada 13 November 2022 ketika berkempen sempena Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) lalu.
“Sebenarnya bukan macam itu. Bila dia (Dato’ Seri Anwar) fail, mahkamah sudah maklum dan kita terus jawab. Saya pun malas nak ulas lagi,” katanya. – HARAKAHDAILY 13/1/2023
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!