Sejauh mana penguatkuasaan jualan ubatan di media sosial?

- Advertisement -

BARU dapat maklumat seorang pesakit kencing manis yang agak tegar dan sukar untuk kawal gulanya meninggal dunia pagi semalam. Semoga rohnya damai di sana.

- Advertisement -

Mengikut maklumat yang terima beliau dah lama meninggalkan ubat klinik dan membeli ubat-ubatan yang dipromosi melalui media sosial. Lepas satu demi satu produk dibelinya kerana jurucakap di media sosial tersebut begitu yakin boleh menyembuhkan kencing manis beliau.

Saya bukan nak memburukkan arwah yang sudah pun kembali ke alam baka, tetapi mungkin kisah seperti ini menjadi pengajaran bagi kita. 

1. Proses promosi ubat-ubatan yang tidak diketahui keberkesanan serta keselamatannya bersimpang-siur di dalam media sosial tanpa kawalan. Ini menunjukkan bahawa di sini berlaku kelemahan dari sudut penguatkuasaan dalam negara kita. Sama ada akta yang sedia ada tidak mencukupi untuk mendakwa mereka ataupun kekurangan prasarana atau manpower dan bukti yang jelas untuk mencekup mereka.  

2. Ada yang bertanya kenapa KKM sendiri tidak buat promosi gila-gila seperti yang dibuat oleh penjual produk tersebut? Sudagha, Akta Pengiklanan mengikat kita supaya tidak mengiklankan produk perubatan yang sah itu di media sosial demi menjamin tiada penyalahgunaan pihak-pihak tertentu yang mungkin mengambil peluang di atas kelonggaran untuk membuat promosi ubat-ubatan seperti itu. Andai kata ubat kencing manis bernama Metformin itu dibenarkan untuk dibuat promosi besar-besaran di media sosial, sudah pasti pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab akan menggunakan jenama yang sama untuk menjual produk mereka. Mereka mendakwa ubat Metformin itu untuk penyakit kencing manis, sebenarnya menipu. 

3. Tetapi ada yang menjawab benarkanlah kalau mereka menipu maka dakwalah mereka yang menipu itu. Maka jawapannya kembali semula kepada nombor 1 di atas.  Kekangan dari segi akta itu sendiri yang menyebabkan begitu susah untuk mendakwa mereka dengan cepat dan mudah. Mereka sudah kaya raya dahulu baru dapat dicekup. Sedangkan proses perundangan untuk mendakwa mereka pun mengambil masa bertahun-tahun dan denda hanya sedikit sahaja. Tidak berbaloi dengan jumlah jualan yang telah pun berjuta-juta yang mereka perolehi. 

Apa yang boleh kita buat sekarang ini adalah terus memberikan kesedaran kepada masyarakat supaya jangan sesekali membeli ubat-ubatan yang entah betul ataupun tidak. Hanya manis di bibir sahaja dan memenuhkan poket si penjual, tetapi yang merananya adalah pesakit itu sendiri. 

DR SUHAZELI ABDULLAH
Pakar Perubatan Keluarga
Sarjana (Master of Medicine) dalam pengkhususan Perubatan Keluarga Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) – HARAKAHDAILY 12/1/2023

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -