Monogami dan poligami

- Advertisement -

MENURUT jumhur ulamak, berkahwin itu tidaklah wajib tetapi hanya mustahab. Siapa yang mahu dan mampu berkahwin, maka dianjurkan untuk berkahwin. Tidak berdosa kalau seseorang itu tidak mahu berkahwin dengan alasannya yang tersendiri selagi tidak bercanggah dengan ajaran Islam. 

- Advertisement -

Tidak boleh pula orang lain mencela dan mengejek orang lain yang enggan berkahwin dengan menggunakan alasan; ‘kalau aku di tempat engkau’ atau ‘kalau aku macam engkau’. 

Dah anda memang bukan dia maka jangan mewajibkan orang lain melakukan sesuatu yang tidak wajib berdasarkan cita rasa dan pilihan kita sebagaimana kita tidak suka orang paksa-paksa kita lakukan sesuatu yang tidak wajib berdasarkan cita rasa dan pilihan mereka!

Islam itu mudah. Apa cita rasa anda, anda mahu dan mampu, silakan selagi tidak bercanggah dengan ajaran Islam. Namun jangan pula memaksa orang lain mengikuti cita rasa kita. 

Pasangan suami isteri pun tidak wajib mempunyai cita rasa, hobi dan perangai yang sama hatta mimpi yang sama untuk menjadi suami isteri.

Monogami itu sunnah, poligami itu juga sunnah. Kedua-duanya adalah sunnah. Tidak usah membeza-bezakan kedua-dua sunnah itu.

Sesiapa yang bermonogami, tidak perlu mencela mereka yang berpoligami begitu juga yang berpoligami tidak perlu memandang rendah mereka yang bermonogami.

Menurut Dr Khalid Basalamah, kemuncak solat setelah solat fardhu adalah solat tahajud maka kemuncak perkahwinan adalah poligami. Lalu beliau memberikan perumpamaan;

Jikalau kita melihat orang lain menunaikan solat tahajud sedangkan diri kita masih belum mampu melakukannya, jangan mencela orang yang menunaikannya tetapi kita perlu tanya diri kita kenapa saya masih belum bisa melakukan sepertinya (solat tahajud) dan seharusnya kita juga berusaha untuk mampu melakukannya.

Begitu juga jikalau kita melihat seseorang bermonogami atau berpoligami sedangkan diri kita masih belum mampu melakukannya, jangan mencela mereka yang melakukannya tetapi berusaha untuk memahami dan melaksanakannya.

Paling minima yang kita lakukan apabila kita melihat seseorang itu bermonogami atau berpoligami adalah dengan mendoakan kebaikan untuk rumahtangga kerana barangkali malaikat akan mendoakan yang sama untuk kita. 

Bayangkan jikalau kita mengejek, mencela dan mendoakan keburukan buat rumahtangga orang lain, barangkali doa itu kembali kepada diri kita. Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud: 

“Apabila ada seseorang yang berkata; ‘Celakalah manusia’, maka sebenarnya ia sendiri yang lebih celaka dari mereka.” 

(Hadis Riwayat Muslim No: 4755)

Maka berhati-hatilah. Monogami itu sunnah, poligami juga sunnah. Anda tidak mahu atau tidak mampu atau apa jua alasan anda, tidak perlu menjadikan alasan peribadi anda sebagai kayu ukur untuk orang lain mengikutinya kerana yang disebut sebagai ‘uswatun hasanah’ suri teladan yang terbaik dicontohi dalam al-Quran adalah Baginda S.A.W bukannya diri kita sendiri.

FIRDAUS WONG WAI HUNG 
Presiden Multiracial Reverted Muslim (MRM) – HARAKAHDAILY 12/1/2023

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -