Empangan global bakal hilang suku stok simpanan air – PBB

Majoriti daripada 60,000 empangan besar di dunia dibina antara 1930 dan 1970, yang direka untuk bertahan 50 hingga 100 tahun. (FOTO FAIL: AP)
- Advertisement -

NEW YORK: Hampir 50,000 empangan besar di seluruh dunia bakal kehilangan lebih satu perempat daripada kapasiti stok penyimpanannya menjelang tahun 2050 akibat daripada pembentukan pemendapan yang boleh mengakibatkan kesan negatif terhadap keselamatan air dan tenaga global.

- Advertisement -

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dalam kenyataannya pada Rabu (11 Jan) berkata bahawa kapasiti empangan global dijangka menurun daripada 6 trilion meter padu (m padu) kepada 4.655 trilion padu menjelang 2050.

“Tindakan mesti diambil untuk menangani masalah itu dan melindungi infrastruktur penyimpanan penting,” ujar kenyataan Institut Air, Alam Sekitar dan Kesihatan Universiti PBB.

Tambah kenyataan itu, kelodak terkumpul di dalam takungan akibat gangguan aliran air semula jadi boleh menyebabkan kerosakan pada turbin hidroelektrik dan memotong penjanaan kuasa.

“Aliran sedimen yang terhalang di sepanjang sungai juga boleh menyebabkan kawasan hulu lebih terdedah kepada banjir dan hakisan habitat hiliran,” tambah kenyataan itu.

Kajian PBB merujuk data daripada 50,000 empangan di 150 negara mendapati 16 peratus kapasiti asal telah hilang.

“Kajian menganggarkan bahawa jika kadar pembentukan berterusan pada kadar yang sama, itu akan meningkat kepada kira-kira 26 peratus menjelang pertengahan abad.

“Menjelang 2050, empangan di Amerika Syarikat menghadapi kehilangan stok simpanan air sebanyak 34 peratus, Brazil pula dianggarkan kehilangan 23 peratus, India 26 peratus dan China 20 peratus,” jelas kenyataan itu.

Kesan pemanasan global

Sehubungan itu, Pengarah Institut Air, Alam Sekitar dan Kesihatan Universiti PBB, Vladimir Smakhtin berkata pembinaan empangan di seluruh dunia telah menurun dengan ketara, dengan kini hanya kira-kira 50 setahun, berbanding 1,000  setiap tahun pada pertengahan abad yang lalu. 

“Saya berhujah bahawa persoalan yang kita patut tanya sekarang ialah apakah alternatif kepada pembinaan  empangan – termasuk dalam penjanaan kuasa – memandangkan ia sedang dihentikan secara berperingkat,” katanya.

Tambahanya, kebanyakan 60,000 empangan besar di dunia  dibina antara 1930 dan 1970 yang direka untuk bertahan 50 hingga 100 tahun.

“Empangan dan takungan besar ditakrifkan sebagai lebih tinggi daripada 15 meter (49 kaki), atau sekurang-kurangnya lima meter tinggi sambil menahan tidak kurang daripada tiga juta meter padu air,” jelasnya.

Namun beliau berkata, kesan pemanasan global  sekarang menambahkan lagi risiko dengan cara yang masih belum diukur sepenuhnya.

“Perubahan iklim ekstrem seperti banjir dan kemarau akan meningkat, dan hujan berintensiti tinggi lebih menghakis.

“Ini bukan sahaja meningkatkan risiko takungan melimpah tetapi juga mempercepatkan pembentukan sedimen, yang menjejaskan keselamatan empangan, mengurangkan kapasiti penyimpanan air dan mengurangkan pengeluaran tenaga dalam empangan hidroelektrik,” katanya.  – HARAKAHDAILY 12/1/2023

- Advertisement -