Ketua Hakim Negara kecam cubaan jejas kebebasan kehakiman

Tun Tengku Maimun Tuan Mat
- Advertisement -

PUTRAJAYA: Adalah tidak wajar (mischievous) bagi sesiapa untuk cuba mencemar imej mahkamah menerusi kritikan yang tidak adil, berat sebelah, dan kritikan yang sering kali dibuat semata-mata kerana tidak menyukai suatu keputusan mahkamah tertentu, kata Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat.

- Advertisement -

Beliau berkata kritikan membina sentiasa dialu-alukan, namun bukannya cubaan untuk menjejaskan kebebasan badan kehakiman.

“Tahun lepas, cubaan untuk megertak dan memberi tekanan yang tidak wajar terhadap hakim yang mengetuai kes-kes kepentingan awam menjadi semakin ketara. Percubaan ini adalah penghinaan secara langsung kepada kedaulatan undang-undang dan kebebasan kehakiman.

“Mereka sememangnya patut dikecam dan memang ramai yang secara lantang menentang mereka dengan tegas. Tahun lepas, badan kehakiman menjadi sasaran serangan hebat semasa pendengaran kes berprofil tinggi tertentu,” katanya semasa berucap pada perasmian Pembukaan Tahun Undang-undang 2023 di sini, hari ini.

Menyentuh sistem keadilan jenayah, Tengku Maimun menegaskan bahawa liabiliti jenayah akan terus ditentukan mengikut undang-undang yang terpakai, dan kekuatan bukti yang dikemukakan di mahkamah.

“Mereka yang terbukti bersalah akan disabitkan, dan mereka yang tidak dapat dibuktikan bersalah akan dibebaskan. Tertuduh yang disabitkan kesalahan akan dikenakan hukuman yang setimpal, tidak lebih dan tidak kurang. Ini tugas kami sebagai hakim, dan kami bertekad untuk melaksanakan kewajipan kami tanpa mengambil kira sebarang ancaman yang dibuat bagi menghalangnya.

“Apa yang saya ingin sampaikan di sini ialah, seperti yang sering saya katakan sebelum ini, bahawa kebebasan kehakiman tidak akan terjejas selagi kes diputuskan tanpa rasa takut atau pilih kasih, tanpa niat jahat atau motif, tanpa sebarang tekanan luaran mahupun dalaman, dan tanpa mengambil kira personaliti,” katanya.

Beliau berkata selagi setiap hakim komited terhadap prinsip-prinsip ini, dan bersatu dalam usaha menegakkan asasnya, beliau yakin kebebasan badan kehakiman akan dipertahankan.

Beliau seterusnya mengulangi bahawa hakim perlu tegas membuat keputusan serta menulis penghakiman mereka berlandaskan lunas undang-undang, dan bukan kata-kata yang hanya bertujuan mencari populariti.

“Kami menulis untuk memastikan orang ramai mengikuti perkembangan fungsi kehakiman dan bukan untuk mendapatkan pengesahan daripada orang ramai atau daripada mana-mana pihak lain. Jika hakim memutuskan sesuatu kes berdasarkan apa-apa selain daripada undang-undang atau fakta, maka dia membuat keputusan yang tidak betul di sisi undang-undang, dan apabila berlaku, hakim itu dilihat gagal menegakkan kebebasan kehakiman dan kedaulatan undang-undang,” katanya.

Tengku Maimun juga menggesa orang ramai membaca penghakiman secara menyeluruh sebelum merumuskan pendapat sendiri, dan meletakkan badan kehakiman kepada keadaan difitnah dalam sebarang bentuk.

Mengulas mengenai komposisi anggota Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman 2009, beliau berkata adalah penting bagi kebebasan kehakiman, bahawa proses pelantikan kehakiman harus kekal tidak berpolitik dan bebas daripada sebarang bentuk campur tangan dan pengaruh. – BERNAMA

- Advertisement -