Kelantan hapus judi sejak 30 tahun lalu

Puteri Fatin Nasyuhada Megat Mohamad Halim
- Advertisement -

KANGAR: Langkah kerajaan Kedah menamatkan lesen premis judi dianggap bukannya isu politik kepartian atau perkauman, sebaliknya ia bagi menjaga keharmonian hidup masyarakat pelbagai kaum.

- Advertisement -

Ketua Ameerah Perlis, Puteri Fatin Nasyuhada Megat Mohamad Halim berkata, isu tersebut bersifat sejagat yang perlu didukung semua pihak.

Katanya langkah kerajaan Kedah merupakan satu tindakan yang bijak dalam usaha membasmi kemiskinan hidup rakyat kerana ada yang bankrap kerana ketagih judi.

“Keputusan yang diambil kerajaan Kedah menunjukkan kematangan kepimpinan kerajaan yang dipimpin PAS dan PERIKATAN NASIONAL (PN).

“Langkah itu mengajak rakyat menjalani kehidupan lebih sihat dan harmoni tanpa terbabit dengan aktiviti judi.

“Jutaan terima kasih diucapkan kepada Kerajaan Kedah kerana mengotakan janji dan bukan hanya menanam tebu di bibir sahaja semasa kempen Pilihan Raya Umum (PRU),” katanya di sini.

Baru-baru ini Setiausaha DAP Kedah, Teh Swee Leong dilapor tidak bersetuju tindakan kerajaan Kedah menamatkan lesen premis perjudian di seluruh negeri itu bermula 1 Januari lepas.
Menurutnya tindakan menamatkan lesen judi tersebut akan berlaku ketidakharmonian kaum.

Puteri Fatin berkata, kenyataan pemimpin DAP terbabit tidak berasas kerana kerajaan Kelantan sudah menghapus premis judi sejak 30 tahun lepas tidak berlaku sebarang ketidakharmonian kaum.

Begitu juga Terengganu yang menghapuskan premis judi sejak 1999 tidak menggugat keharmonian kaum seperti didakwa pemimpin DAP. – HARAKAHDAILY 9/1/2023