
PASIR MAS: Etiqa Family Takaful Berhad memperuntukkan sebanyak RM20.5 juta dalam tempoh setahun bagi pengeluaran zakat dengan memberi fokus program amal jariah dan pembangunan ummah.
Ketua Eksekutif Etiqa Family Takaful Berhad, Zafri Ab Halim berkata, zakat itu turut disalurkan bagi menyediakan pengangkutan, menambah baik infrastruktur, sumbangan kewangan Ramadan serta menyediakan peralatan nelayan dan pelbagai lagi.
Malah katanya, sumbangan zakat berkenaan itu juga turut disasarkan kepada golongan pelajar yang mengikuti pengajian di kolej swasta dan awam yang berkelayakan.
Kata beliau sumbangan zakat tersebut merupakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) pihaknya dalam membantu meringankan beban golongan asnaf khususnya mereka yang memerlukan.
Selain itu sebanyak 50 peratus sumbangan zakat turut disalurkan kepada Majlis Agama Negeri, manakala sebahagian lain lagi diagih melalui badan bukan kerajaan (NGO) terpilih.
“Sehingga kini kami bekerjasama dengan 12 NGO termasuk kesihatan, bantuan kemanusiaan serta kebajikan projek air bersih,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan van jenazah di Masjlid Gelang Emas, Mukim Banggol Naim, di sini hari ini.
Mengulas lanjut katanya, sepanjang tahun lalu pihaknya turut memperuntukan sebanyak RM280,000 zakat membeli dua van untuk kegunaan masjid dan pusat pengajian.
“Sepanjang tahun lalu, kita menyediakan dua van iaitu membeli van jenazah untuk disumbangkan kepada masjid dan kegunaan pusat penganjian tahfiz,” katanya.
Selain itu juga, pihaknya turut menyediakan khidmat pengangkutan bergerak bagi menghantar pesakit yang menjalani pemeriksaan kanser payudara. – HARAKAHDAILY 7/1/2023
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!