Peruntukan RM180,000 bina rumah dhuafat setiap DUN

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan memperuntukkan sebanyak RM20,000 bagi setiap DUN untuk disalurkan bagi memberi bantuan kepada mangsa banjir di negeri ini.

- Advertisement -

Timbalan Menteri Besar Dato’ Mohd Amar Abdullah berkata, melalui peruntukan itu bantuan disampaikan dalam bentuk makanan dan keperluan asas kepada mangsa banjir yang terlibat.

Katanya, kerajaan negeri sentiasa memberi bantuan kepada mangsa banjir termasuk melengkapkan keperluan yang tidak mencukupi di Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

“Kerajaan negeri hanya membantu keperluan yang tidak mencukupi terutama ketika berada di PPS. Bagaimanapun, bantuan lain diselaras Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma),” katanya kepada pemberita selepas selesai menyerahkan kunci rumah dhuafa’ DUN Panchor, semalam.

Pada majlis sama, beliau turut menyampaikan sumbangan kerajaan negeri untuk pembinaan Masjid Al-Alaq, Panji sebanyak RM60,000.

Dalam perkembangan lain, Mohd Amar berkata, kerajaan negeri memperuntukkan RM180,000 kepada setiap DUN di Kelantan untuk projek pembinaan rumah dhuafa’ dalam tempoh setahun.

“Melalui peruntukan yang disediakan sebanyak empat rumah dibina dalam tempoh setahun kepada asnaf yang layak di setiap DUN.

“Pemilihan penerima rumah tersebut dilakukan penghulu dan pejabat Pusat Khidmat DUN bagi memastikan mereka benar-benar layak,” katanya. – HARAKAHDAILY 7/1/2023

- Advertisement -