Perancis kecam komen perkauman terhadap pemain Les Bleus

Reaksi pemain Argentina dan Perancis ketika Lionel Messi mengambil sepakan penalti
- Advertisement -

Persekutuan Bola Sepak Perancis (FFF) mengecam komen perkauman dalam talian yang ditujukan kepada pemain negara itu.

- Advertisement -

FFF juga berjanji akan mengambil tindakan selepas pemain negara itu menjadi sasaran dalam media sosial berikutan kekalahan kepada Argentina pada perlawanan akhir Piala Dunia di Qatar, Ahad lalu.

Isnin lalu, portal berita BBC melaporkan bahawa penyerang Perancis, Kingsley Coman dan pemain tengah, Aurelien Tchouameni, menjadi mangsa komen perkauman dalam talian selepas kedua-dua pemain gagal menjaringkan gol ketika penentuan penalti pada perlawanan akhir.

Penjaga gol Argentina, Emiliano Martinez menyelamatkan sepakan Coman, manakala rembatan Tchouameni tersasar ketika Perancis gagal mengekalkan kejuaraan yang dimenangi pada 2018.

“Susulan perlawanan akhir Piala Dunia, beberapa pemain pasukan kebangsaan Perancis menjadi mangsa komen perkauman dan kebencian yang tidak boleh diterima dalam media sosial,” kata FFF di Twitter.

“FFF mengutuk perbuatan keji itu dan akan memfailkan aduan terhadap mereka yang terbabit.”

Kelab Coman, Bayern Munich turut menghantar mesej sokongan kepada pemain berusia 26 tahun itu, mengecam komen perkauman yang dibuat terhadapnya. – REUTERS

- Advertisement -