Tiga inisiatif pantas tangani tekanan air paip rendah

- Advertisement -

KANGAR: Tiga inisiatif pantas dilakukan oleh Syarikat Air Perlis (SAP) bagi menangani masalah tekanan air paip rendah khususnya di Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Perlis dan sekitar.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan dan Prasarana; Pengangkutan; Hubungan dan Kerjasama Sempadan dan Penyelarasan Penguatkuasaan Bersepadu dan Aduan Awam negeri, Izizam Ibrahim berkata, antaranya Program Non Revenue Water (NRW) iaitu dengan membina tangki air di Kuala Perlis di samping menambahbaik reka bentuk kapasiti LRA Timah Tasoh daripada 36 MLD kepada 76 MLD (peningkatan sebanyak 40 MLD) melalui Program Mitigasi Jangka Pendek Bagi Sistem Bekalan Air Negeri Perlis.

“Program Mitigasi Jangka Sederhana Sistem Bekalan Air Negeri Perlis juga dilakukan bagi meningkatkan reka bentuk kapasiti LRA Timah Tasoh daripada 76 MLD kepada 100 MLD (peningkatan sebanyak 24 MLD),” ujarnya pada persidangan DUN hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Abu Bakar Hamzah (Bersatu- Kuala Perlis) yang mahukan penjelasan mengenai langkah kerajaan untuk mengatasi masalah tekanan air paip rendah di kawasan itu.

Ujarnya lagi, SAP berupaya membekal air ke seluruh kawasan Kuala Perlis menerusi bekalan air dari Loji Teknologi Tenaga Perlis Consortium Berhad (TTPC) dan juga Loji Rawatan Air (LRA) Timah Tasoh.

“Isu tekanan air tersebut dijangka dapat diatasi menerusi tiga program yang dijalankan tersebut dan sekiranya masih berlaku di premis persendirian berkemungkinan disebabkan oleh masalah perpaipan atau tangki dalaman premis sendiri.

“Pihak terjejas juga boleh menghubungi SAP untuk siasatan lanjut,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 20/12/2022

- Advertisement -