Banjir: Ahli Parlimen PAS terus segera balik

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ahli-ahli Parlimen PAS akan terus segera balik ke kawasan masing-masing selepas persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

- Advertisement -

Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, sidang hari ini berjalan singkat bagi meluluskan Rang Undang-Undanfg Kumpulan Wang Disatukan yang mendapat sokongan sebulat suara.

“Ahli-ahli Parlimen PAS akan terus segera balik ke kawasan masing-masing, untuk memberikan sepenuh perhatian kepada rakyat yang menghadapi musibah banjir terutamanya di Kelantan dan Terengganu,” ujarnya dalam hantaran di laman Facebook beliau, hari ini.

Katanya, beliau juga akan singgah di Kemaman dan Dungun, untuk melihat keadaan banjir di sana dan memberikan bantuan kepada mangsa banjir.

“Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan takziah buat keluarga mangsa korban banjir dan tanah runtuh tempoh hari,” katanya yang juga Ahli Parlimen Marang.

Sementara itu, Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari menerusi Facebooknya berkata, sidang Dewan Rakyat tamat awal hari ini, beliau dalam perjalanan pulang.

“Saya berhubung sejak dua hari lepas dengan jentera Pusat Khidmat berhubung situasi banjir dan hari ini keperluan terhadap sukarelawan untuk membantu terutama di PPS sangat kritikal,” katanya.

Beliau juga memohon anak-anak muda yang boleh membantu sebagai sukarelawan banjir di Parlimen Pasir Mas dapat mendaftar diri segera dengan menghubungi atau WhatsApp ke talian +60 11-1941 5521

Pada hantaran semalam, beliau berharap semoga ada perhatian khusus daripada pihak kerajaan terhadap isu banjir di Kelantan dan Terengganu.

Fadhli berkata, antaranya ialah pampasan kerosakan harta benda seperti mana mangsa banjir di Lembah Klang awal tahun ini.

“Secara peribadi saya sempat bercakap dengan YAB Perdana Menteri semasa makan tengah hari agar beliau sendiri dapat ke Kelantan dalam masa banjir sedang memuncak ini untuk melihat sendiri kemusnahan yang berlaku,” katanya. – HARAKAHDAILY 20/12/2022

- Advertisement -