42 warga asing ditahan dalam serbuan kes dadah

- Advertisement -

SEPANG: Polis menahan 42 pendatang tanpa izin termasuk seorang kanak-kanak dipercayai disembunyikan seorang tekong darat dalam satu serbuan di sebuah rumah bandar atau townhouse di Cyberjaya pada 11 Disember lepas.

- Advertisement -

Ketua Polis Daerah Sepang ACP Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata risikan awal mengesyaki rumah berkenaan ada kaitan dengan sindiket pengedaran dadah namun hasil serbuan telah menemukan 42 warga Indonesia dipercayai disembunyikan selama tiga hari di ‘rumah transit’ itu.

Beliau berkata kesemua warga asing itu dibawa secara berasingan sejak 9 Disember dengan menaiki kenderaan e-hailing supaya pergerakan mereka tidak dapat dihidu oleh pengawal keselamatan dan penduduk lain.

“Ketika serbuan dibuat (11 Disember), seorang tekong darat warga tempatan berusia 42 tahun berjaya melarikan diri dengan terjun melalui pintu belakang (rumah) sebelum berjaya diberkas di kawasan Dengkil semalam,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Wan Kamarul Azran berkata dalam serbuan itu polis turut menemukan dadah jenis syabu seberat 0.24 gram serta wang tunai RM7,000 dan hasil siasatan mendapati 42 warga asing itu sepatutnya keluar dari negara ini melalui jalan air pada 11 Disember, sama ada melalui Bagan Lalang atau Pantai Tanjung Rhu.

Beliau berkata tekong darat itu direman selama empat hari sehingga 17 Disember bermula semalam manakala kesemua warga asing direman selama 14 hari bermula 11 Disember.

Sementara itu dalam kes berasingan, Wan Kamarul Azran berkata empat lelaki warga tempatan ditahan kerana dipercayai terlibat dalam kes curi dan leraikan komponen kenderaan di Cyberjaya.

Beliau berkata modus operandi sindiket berkenaan adalah mencuri kenderaan lama yang telah lama diparkir di kawasan kondominium, dan kemudian ditunda ke bengkel untuk dileraikan, dengan sebahagian komponen kenderaan serta rangkanya dijual di kedai lusuh.

Katanya, kes berkenaan rentetan daripada satu laporan polis diterima pada 5 Disember berhubung kehilangan kenderaan jenis Proton Satria, dan hasil risikan serta serbuan, polis berjaya merampas barang kes yang telah dileraikan melibatkan enam kenderaan dicuri di kawasan Cyberjaya.

Menurut beliau, dua tangkapan dibuat di Cyberjaya pada 5 Disember, diikuti tangkapan ketiga di Klang dan keempat di Sepang pada 13 Disember dan kesemua suspek berumur 26 tahun hingga 38 tahun itu ditahan reman sehingga hari ini.

Kes disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan. – BERNAMA

- Advertisement -