Korban 20 ekor lembu di Tumpat 10 Disember

- Advertisement -

KOTA BHARU: Sebanyak empat lokasi di kawasan Parlimen Tumpat akan mengadakan kenduri kesyukuran sempena kejayaan PAS mempertahankan kerusi itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dengan majoriti jauh lebih besar.

- Advertisement -

Setiausaha Badan Perhubungan PAS Kelantan Wan Roslan Wan Hamat berkata, majlis kesyukuran itu akan diadakan serentak pada 10 Disember ini.

Menurutnya kemenangan itu lebih manis apabila PAS mendapat majoriti lebih besar iaitu sebanyak 34,793 undi berbanding Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) 17,500 undi.

“InsyaAllah jemput belaka ke majlis kesyukuran bagi Parlimen Tumpat pada 10 Disember pada Sabtu dengan jamuan 20 ekor lembu bagi meraikan kemenangan calon PAS di Tumpat.

“Majlis ini di empat lokasi empat Dun Tumpat di Pantai Geting, Pengkalan Kubor; Padang Puteri Saadon, Wakaf Bharu; Pusat Khidmat Dun Pasir Pekan di Morak dan Kelaboran,” katanya di sini.

Calon PAS, Dato’ Mumtaz Md Nawi memenangi kerusi Parlimen Tumpat pada PRU15 19 November lepas menewaskan calon BN, Dato’ Che Abdullah dengan majoriti 34,793 undi.

Pada PRU tersebut Mumtaz berdepan lima penjuru. Calon lain Che Mohd Asemari Che Ali (Putra) mendapat 593 undi, Khairul Azuan Kamarrudin (Warisan) 245 undi dan Wan Mohd Johari Wan Omar (PH) 7,762 undi.

Ketika kempen PRU15 Timbalan Pesuruhjaya PAS Kelantan Dato’ Mohd Amar Abdullah menyebut akan mengorbankan 20 ekor lembu sekiranya mendapat majoriti lebih 20,000 undi. – HARAKAHDAILY 30/11/2022

- Advertisement -