Identiti kanak-kanak mangsa bunuh dikenal pasti selepas 65 tahun

Hasil teknik pembinaan semula muka yang direalisasikan oleh National Centre for Missing and Exploited Children ini menunjukkan wajah budak lelaki yang tidak dikenal pasti identitinya, yang ditemui mati di dalam sebuah kotak kadbod di Philadelphia pada 25 Feb1957. (FOTO: National Centre for Missing and Exploited Children)
- Advertisement -

PHILADELPHIA, Amerika Syarikat: Kanak-kanak lelaki yang menjadi mangsa pembunuhan misteri 65 tahun lalu, yang dilabelkan selama ini sebagai ‘budak lelaki di dalam kotak’ (‘The Boy in the Box’) akhirnya telah dikenal pasti sebagai Joseph Augustus Zarelli.

- Advertisement -

Pihak polis Philadelphia pada Khamis (8 Nov) waktu tempatan dalam sidang media berkata, kes tersebut merupakan salah satu pembunuhan tertua yang tidak dapat diselesaikan di bandar tersebut, lapor CNN.

Pesuruhjaya Polis Philadelphia, Danielle Outlaw berkata, pengenalpastian terhadap identiti mangsa telah dibuat melalui analisis DNA.

Mayat mangsa berusia empat tahun itu ditemui pada 25 Februari 1957 dalam keadaan dibalut kotak kadbod berhampiran Jalan Susquehanna, di kawasan hutan di timur laut Philadelphia; dan menjelang akhir bulan tersebut, siasatan mula dijalankan untuk mengenal pasti identitinya – namun hanya berjaya selepas 65 tahun kemudian.

Danielle Outlaw dalam sidang media di Philadelphia, Amerika Syarikat pada 8 Dis 2022. (FOTO: CNN)

“Kes ini telah menarik minat ramai, namun tiada sesiapa yang pernah tampil untuk mendakwa Joseph sebagai anak mereka, dan identitinya kekal misteri walaupun banyak percubaan untuk mengenal pasti mangsa selama 65 tahun lalu,” ujar Outlaw.

Keadaan itu berubah pada minggu ini apabila polis mengumumkan bahawa mereka telah berjaya mengenal pasti kanak-kanak itu melalui siasatan detektif dan dengan bantuan ahli genealogi genetik – bidang yang dalam beberapa tahun kebelakangan ini telah membawa kepada banyak kejayaan dalam kes pembunuhan misteri, termasuk dalam kes yang digelar sebagai ‘Golden State Killer’, selain menyatukan individu-individu yang hilang dengan ahli keluarga masing-masing.

“Selama  65 tahun,  kisah ‘Kanak-kanak yang Tidak Dikenal Pasti di Amerika Syarikat’ ini telah menghantui komuniti  bandar, Jabatan Polis Philadelphia, negara dan dunia,” kata Outlaw,  sambil memuji generasi baharu pegawai polis yang mengendalikan kes itu.

Jason Smith (tengah) dan Dr Constance D’Angelo (kanan) dalam sidang media di Philadelphia pada 8 Dis, 2022. (FOTO: cp24.com)

Menurutnya, walaupun fakta bahawa keseluruhan identiti Joseph Augustus Zarelli dan tuntutan yang sah terhadap kewujudannya gagal diselesaikan selama ini, namun kes mangsa tidak pernah ditutup,

“Sehubungan itu  kami berharap teknik  saintifik yang digunakan untuk mengenal pasti Joseph ini  akan membantu menyelesaikan  kes-kes pembunuhan yang lain –  dan yang akan berlaku pada masa hadapan – yang membawa harapan bahawa tidak akan ada lagi mangsa pembunuhan yang tidak dikenali di bandar Philadelphia,” tegas Outlaw.

Pembunuh dalam buruan

Sehubungan itu, siasatan terhadap siapa  siapa yang bertanggungjawab atas kematiann kanak-kanak itu masih diteruskan.

“Kami ada mengesyaki individu yang mungkin bertanggungjawab atas kematian Joseph, tetapi adalah tidak bertanggungjawab bagi saya untuk berkongsi syak wasangka ini kerana ia masih kekal sebagai penyiasatan jenayah yang aktif dan berterusan,” kata Kapten Jason Smith dari unit kes pembunuhan Polis Philadelphia. 

Kubur mangsa yang gagal dikenal pasti identitinya disemadikan di Tanah Perkuburan Ivy Hill, Philadelphia. (FOTO: Terrace Standard)

“Kami mungkin tidak membuat tangkapan dalam masa terdekat. Kami juga mungkin tidak akan membuat pengecaman (terhadap pembunuh), tetapi kami akan melakukan yang terbaik secara berterusan.

Menjelaskan lebih terperinci tentang mangsa, ujar Smih, kanak-kanak itu telah ‘dipukul dengan teruk’, menyebabkan kesan lebam di badannya, sementara rambutnya telah ‘dipotong kasar dekat dengan kulit kepala’.

“Hasil bedah siasat mengesahkan kanak-kanak itu berumur antara 4 dan 6 tahun dan mendapati mangsa  mengalami pelbagai kesan melecet, lebam, pendarahan subdural dan efusi pleura – kecederaan yang pada asasnya akibat sejumlah trauma tumpul,” jelasnya.

Namun, Smith berkata, sebelum ini amat sukar untuk menyelesaikan kes pembunuhan idan membawa pembunuh ke muka pengadilan apabila mangsa bunuh masih tidak dikenal pasti.

Keratan akhbar bertarikh 25 Februari 1957 yang melaporkan tentang kematian mangsa. (FOTO: Newspaper.com)

Teknologi DNA

Sementara ketua pemeriksa perubatan Philadelphia, Dr Constance D’Angelo menjelaskan bahawa, wlaupun kajian saintifik menemui DNA ditemui pada 1800-an, namun  teknologi DNA tidak berkembang jauh menjelang 1950-an.

“Sebaliknya, ‘pengenalan visual’ adalah kaedah utama untuk mengenal pasti mayat mangsa (Joseph) yang tidak dikenal pasti, dengan pihak berkuasa menyiarkan gambar kanak-kanak hilang  dalam akhbar, meletakkan poster di sekitar bandar tersebut, namun,tiada sebarang kejayaan bagi mengenal pasti identiti mangsa pada ketika itu,” ujarnya lagi.

Menyingkap kembali sejarah penyiasatan kanak-kanak malang tersebut, mangsa telah dikebumikan di Porter’s Field, Philadelphia sehinggalah pada 1998 kuburnya digali sebelum mendiang kemudiannya dikebumikan semula di Tanah Perkuburan Ivy Hill, yang mana batu nisannya tertulis dengan perkatan, ‘Kanak-kanak Tidak Dikenal Pasti Amerika Syarikat’.

Foto bertarikh 25 Julai 1957 menunjukkan polis Philadelphia ketika pengebumian mangsa di Porter’s Field. (FOTO: Americasunknownchild.com)

Tambah Smith, penyiasat mengekalkan sebahagian daripada mayat kanak-kanak itu untuk ujian masa depan, namun ujian DNA pada masa itu tidak menghasilkan sebarang petunjuk baharu dalam membantu menyelesaikan kes berkenaan.

“Polis kemudian menggali semula mayat itu pada 2019 apabila ditentukan kes itu boleh mendapat manfaat daripada penciptaan  teknik forensik yang lebih moden ketika itu,” kata Smith.

“Hasilnya, keputusan ujian DNA telah dimuat naik ke pangkalan data DNA, dan  dengan bantuan ahli genealogi genetik di Identifinders International – sebuah syarikat genealogi genetik forensik, penyiasat dapat mencari dan menghubungi saudara-mara dalam keluarga ibu Joseph.

“Penyiasat mengenal pasti ibu kandung Joseph dan mendapatkan rekod kelahirannya, yang turut menyenaraikan nama bapanya. Penyelidikan lanjut membawa penyiasat kepada individu kemudian disahkan melalui ujian tambahan untuk disahkan sebagai bapa kanak-kanak itu,” jelas Smith.

Kes pembunuhan berprofil tinggi Joseph Augustus Zarelli pada 1957 kini diteruskan pihak polis untuk mengenal pasti pembunuhnya. (FOTO: CBS News)

Polis bagaimanapun enggan mengenal pasti ibu bapa kanak-kanak itu, tetapi Smith berkata kedua-duanya sudah meninggal dunia, namun  Joseph mempunyai adik-beradik yang masih hidup.

Dalam pada itu, Presiden Identifinders International, Dr Colllen Fitzpatrick berkata, kes pembunuhan kanak-kanak itu adalah yang paling mencabar sepanjang kerjayanya, sebahagiannya disebabkan tahap DNA mayat mangsa yang  telah merosot. 

“Namun, kejayaan mengenal pasti identiti Joseph selepas 65 tahun mangsa mati dibunuh bermakna, teknologi ini boleh dimanfaatkan untuk mengenal pasti begitu ramai individu yang hilang tanpa dikesan selama ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 9/12/2022

- Advertisement -