DAP kembali ke Putrajaya dalam keadaan cemas

DAP masuk Pilihan Raya Umum ke-15 baru-baru ini dengan serba kebimbangan. Setelah PH kalah dalam siri-siri Pilihan Raya Kecil bermula PRK Cameron Highlands dan kemudiannya di 4 negeri iaitu Sabah, Melaka, Sarawak dan Johor, DAP tidak berapa yakin menghadapi PRU ke-15. Ia sangsi sama ada mampu mengulangi kejayaan PRU ke-14 kerana sejak itu banyak telah berubah.

Advertisement

Ancaman terbesar DAP adalah apabila kuasa politik Melayu Islam berupaya bersatu. Penyatuan seumpama ini akan mengakibatkan mereka bersendirian dengan sokongan undi bukan-Melayu semata-mata dan mengambil kira siri-siri PRK dan PRN yang dimaksudkan, DAP pasti akan menanggung kerugian besar.

DAP tidak lagi meletakkan harapan pada keupayaan PKR dan PAN meraih undi Melayu buat PH, kerana realitinya kedua-dua parti itu seakan dijauhi pengundi Melayu.

Namun DAP menarik nafas lega apabila Umno dan PAS gagal mengekalkan kerjasama politik mereka. Kegagalan ini akan mengulangi perpecahan umat Melayu yang nanti akan mengulangi senario PRU14.

Lantas DAP dilihat segera melancarkan dua kempen bersepadu. Pertama meyakinkan masyarakat bukan-Melayu, bahawa walaupun DAP ditolak dalam beberapa siri PRK dan PRN pasca PRU14, namun  dengan kegagalan parti-parti Melayu bersatu, DAP dan PH sesungguhnya punya peluang untuk kembali ke Putrajaya.

Lalu dilancarkanlah kempen besar-besaran merayu dan mengajak pengundi-pengundi bukan-Melayu agar keluar mengundi beramai-ramai kali ini kerana berdasarkan realiti politik semasa, DAP dan PH berupaya kembali berkuasa. 

Pengundi-pengundi luar dan dalam negara dirayu agar menyumbang ke arah kemenangan DAP dengan memastikan peratusan keluar mengundi mereka tinggi.

Terbukti kempen DAP yang menggunakan segala saluran media termasuklah media sosial berjaya apabila rata-rata seawal jam 7:30 pagi di kebanyakan pusat-pusat mengundi khasnya di Pantai Barat, masyarakat bukan-Melayu telah siap beratur untuk melaksanakan tanggungjawab mereka.

Selain itu DAP juga sedar mereka perlu menutup ruang rakyat khasnya pengundi-pengundi bukan-Melayu dari mencuba-cuba untuk mengundi PAS dan PERIKATAN NASIONAL. Kiranya PAS dan PN peroleh undi masyarakat ini maka peluang DAP dan PH menjadi semakin nipis. Lalu dilancarkanlah serangan-serangan berterusan terhadap PAS.

Satu undi untuk PN kata pimpinan mereka adalah satu undi untuk pembentukan Kerajaan ‘Taliban’.

Usaha menakut-nakutkan masyarakat bukan-Melayu ini giat dilancarkan DAP dan ianya berjaya apabila keputusan akhir menunjukkan yang PAS gagal memperolehi undi di kawasan-kawasan atau saluran undi pengundi bukan-Melayu.

Kempen bersepadu DAP ini cukup berkesan apabila pengundi-pengundi bukan-Melayu akhirnya menolak calon-calon PN malah sampai mencecah melebihi 95 peratus berbanding sekitar 90 peratus pada PRU lalu.

Begitu terpengaruhnya masyarakat bukan-Melayu terhadap propaganda DAP sehingga calon-calon PAS di Pantai Barat khasnya gagal memperolehi undi di saluran undi majoriti bukan-Melayu malah tidak ada yang berjaya mencatat hatta 10 peratus sokongan pun.

Di Parlimen Kota Raja contohnya, calon PAS ditolak di kesemua saluran dari saluran 1 hinggalah saluran terakhir yang melibatkan pengundi-pengundi muda di kawasan-kawasan ini.

Contohnya di Daerah Mengundi Taman Klang Jaya (mengikut rekod tidak rasmi) yang punya 7.78 peratus pengundi Melayu, saluran 1 PN cuma peroleh 17 undi berbanding PH 248. Begitu juga di saluran 9, Daerah Mengundi yang sama, PN peroleh cuma 24 undi berbanding PH 467 undi.

Walau bagaimanapun di Daerah Mengundi majoriti Melayu contohnya di Daerah Mengundi Taman Berjaya (juga Parlimen Kota Raja), saluran 1, jumlah pengundi Melayu 99.11 peratus PN memperolehi 221 undi, PH cuma 73. 

Di saluran 5 Daerah Mengundi sama, peratusan pengundi Melayu 99.14 peratus, PN peroleh 432 undi, PH cuma 108.

Trend seumpama ini dikesan hampir di semua kawasan Parlimen di Selangor. Ini membuktikan bahawa calon-calon PAN dan PKR Melayu yang bertanding di kawasan campuran sesungguhnya menang semata-mata atas sokongan padu pengundi bukan-Melayu.

Selain itu DAP dan PH juga menyumbang kepada kejatuhan Barisan Nasional. Mereka bertubi-tubi menyerang Umno yang dilabel kononnya perompak dan telah menyakau wang rakyat.

Hakikatnya PH membantu PN melarikan sokongan pengundi Melayu dari BN ke PN dengan tindakan agresif mereka itu.

Sebelum PRU15 lalu beberapa pimpinan PH telah mengeluarkan kenyataan bahawa mereka cuma perlu 30 peratus undi Melayu kerana sokongan selebihnya akan datang dari pengundi Melayu yang ‘solid’ akan menyokong mereka, ternyata telahan mereka benar.

Cuma dalam PRU kali ini, PAS dan PN mencatat peningkatan ‘luar biasa’ kerana dalam waktu yang sama pengundi Melayu pula telah mula berubah angin. Jika di saluran 1 kawasan-kawasan majoriti Melayu di hampir ke semua Daerah Mengundi seluruh Selangor, calon-calon PN menerima penolakan, akan tetapi di saluran yang lain khasnya saluran anak-anak muda, calon-calon PN menang besar. 

Rakyat khasnya pengundi Melayu Islam enggan undi PH kerana BN serang PH, dalam waktu yang sama mereka juga tidak berselera pada BN kerana PH serang BN. Akhirnya ini menyumbang kepada kemenangan PN setelah berjayanya kempen PH dan BN yang sebenarnya menembak sesama sendiri. 

Walaupun PH dan DAP bergembira dengan kemampuan mereka kembali berkuasa setelah sanggup bersekongkol dengan BN, tetapi mereka cukup sedar bahawa 73 kerusi Parlimen PN (yang 43 darinya datang dari PAS) itu sesungguhnya mewakili 57 peratus pengundi Melayu yang keluar mengundi.

Kuasa mungkin di tangan Perdana Menteri ke-10 setelah berjaya membentuk kerajaan, tertakluk keabsahan mereka apabila Parlimen bersidang nanti, namun realitinya jika pun sah kuasa di tangan mereka, ianya tidak mencerminkan sokongan dan dukungan umat Melayu Islam, iaitu kaum majoriti dalam negara.

DAP cuma berjaya menang 40 dari 41 kerusi yang dimenanginya pada PRU ke-14. Ia mampu berkuasa kerana berjaya memburukkan PAS dan menakut-nakutkan masyarakat bukan-Islam pada PAS dan PN. 

Keduanya kerana ia menumpang atas 30 kerusi yang dimenangi BN, parti yang mereka bogelkan dan serang bermati-matian semasa kempen PRU tempoh hari.

Kini DAP kembali ke Putrajaya, namun dalam suasana yang cukup mencabar. Walau menang 40 kerusi mereka cuma diberikan 4 kerusi dalam Kabinet Perdana Menteri ke-10. Ini berlaku kerana Perdana Menteri ke-10 terpaksa meraikan BN yang memberikan tali hayat pada mereka. Menurut sumber ramai dalam DAP tidak berpuas-hati tetapi terpaksa menggigit jari kerana bimbang Umno tarik balik sokongan. Kerajaan ini ternyata tidak stabil. 

Dan kehadiran DAP dan Umno dalamnya, hanya memberi isyarat yang ianya sukar kekal lama. Bersamalah kita tunggu dan lihat nasib mereka nanti.

ROSLAN SHAHIR MOHD SHAHIR – HARAKAHDAILY 9/12/2022