MPKB-BRI akur keputusan Mahkamah Rayuan

- Advertisement -

KOTA BHARU: Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) menangguh buat sementara tindakan kunci tayar kenderaan di bawah Perintah 17 Perintah Pengangkutan Jalan (Letak Kereta Bermeter) (Majlis Perbandaran Kota Bharu) 2000 berkuat kuasa semalam.

- Advertisement -

Yang Dipertuanya, Rosnazli Amin berkata, penangguhan tindakan itu sehingga tarikh yang akan diberitahu selari dengan keputusan Mahkamah Rayuan membuat keputusan peraturan tersebut tidak sah.

“MPKB-BRI akur dengan keputusan mahkamah tersebut. MPKB-BRI menerusi panel peguam mengarahkan Tetuan Shaharuddin Hidayu & Marwaliz memohon alasan penghakiman penuh berkaitan dengan keputusan kes tersebut.

“Selepas itu kita akan membuat keputusan sama ada untuk memohon kebenaran merayu ke Mahkamah Persekutuan atau sebaliknya,” katanya pada kenyataan di sini.

Sebuah laman berita semalam melaporkan undang-undang mengunci tayar terhadap kenderaan di petak parkir yang dikuatkuasakan MPKB-BRI sejak 22 tahun lalu dianggap tidak sah oleh Mahkamah Rayuan.

Perkara itu diputuskan tiga panel Hakim Mahkamah Rayuan iaitu Dato’ Hashim Hamzah, Dato’ Abdul Karim Jalil dan Dato’ Supang selepas mendapati undang-undang itu bertentangan (ultra-vires) dengan Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333).

Hashim dalam penghakimannya secara dalam talian bersetuju bahawa Perintah 17, Perintah Pengangkutan Jalan (LKB) MPKB-BRI 2000 iaitu kuasa MPKB-BRI mengunci tayar terhadap kenderaan tidak membayar parking turut bertentangan dengan Seksyen 72(7) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Keputusan itu diputus berdasarkan kes yang difailkan seorang kerani, Nursyafawati Kasim, 33, selepas keretanya dikunci tayar di Jalan Sultan Yahya Petra, di sini tiga tahun lalu. – HARAKAHDAILY 9/12/2022

- Advertisement -