Machiavellianisme: Politik yang ketandusan nilai murni

- Advertisement -

ASAL usul

- Advertisement -

Apabila sebut mengenai ideologi Machiavelli, masing-masing sudah dapat gambaran bahawa ia adalah politik matlamat menghalalkan cara.

Antara fenomena permainan politik yang mempengaruhi Machiavelli ialah kelicikan yang dilakukan oleh Gabenor Wilayah Duke, Cesare Borgia (1475-1507). 

Kelicikan beliau dianggap sebagai salah satu penyumbang terbesar kepada lahirkan pemikirannya, iaitu politik matlamat menghalalkan cara.

Cesare Borgia mempunyai musuh politiknya, iaitu Remirro de Oreo. Sebagai seorang gabenor, dengan beraninya Borgia melantik musuh politiknya itu sebagai ketua pasukan keselamatan bagi menamatkan huru-hara di wilayah pemerintahannya.

Jadi, De Oreo dengan kuasa yang diberikan oleh musuh politiknya itu, terus melakukan kekerasan dan pembunuhan untuk menamatkan huru-hara tersebut. 

Ketegasan dan kekerasan beliau itu akhirnya berjaya membina kestabilan wilayah tersebut. Tetapi rakyat menyimpan kebencian terhadap cara kejam itu.

Setelah misi tersebut selesai, Borgia terus mendakwa De Oreo atas tindakan melampaui batas dengan melakukan pembunuhan. 

Tujuannya adalah untuk ‘menamatkan’ karier politik musuhnya itu. Lalu De Oreo dijatuhkan hukuman bunuh di hadapan khalayak ramai bagi  memastikan kemarahan rakyat tadi terbalas.

Teori

Machiavelli beranggapan bahawa pemerintah yang digeruni itu lebih baik daripada pemerintah yang dikasihi. 

Ini kerana rakyat lebih cenderung untuk mentaati pemerintah yang digeruni. Manakala pemerintah yang dikasihi mudah di’pijak kepala’ dan ‘ambil kesempatan’.

Menurut beliau, agama (Kristian Katholik) boleh menjadikan seseorang itu merendah diri, dan jadi baik. Tetapi yang sebetulnya menurut beliau, yang penting sejauh mana kesan agama itu dalam memajukan manusia.

Beliau merasakan bahawa ajaran agama itu tidak membantu manusia untuk menstabilkan pemerintahan. 

Beliau menganggap bahawa kehebatan manusia dilihat pada keupayaan menguasai orang lain, bukannya dengan merendah diri.

Menurut beliau, untuk berjaya dalam politik perlu ada kejantanan atau keberanian (virtu). Berani melakukan apa sahaja sekalipun terpaksa melanggar nilai murni.

Ia juga bermaksud, kesanggupan seseorang untuk melakukan apa sahaja bagi mendapatkan dan mempertahankan kekuasaan. Di sinilah dapat difahami dengan ‘matlamat menghalalkan cara’.

Kisah Cesare Borgia VS Remirro De Oreo menjadi inspirasi kepada beliau untuk berteori bahawa politician mestilah bijak mengintai peluang.

Beliau mementingkan aspek penjagaan negara (maintain the state). Termasuk juga seorang ahli politik itu mestilah melakukan sesuatu yang akan memperlihatkan kemuliaan dirinya (grandeur).

Contohnya membina tugu peringatan, atau apa sahaja. ‘Grandeur’ ini juga termasuk dalam usaha penjagaan negara (maintain the state).

Ada dua perkara yang menjadi pantang larang bagi Machiavelli. Seorang ahli politik itu mestilah menjauhinya. Iaitu;

a. Melakukan sesuatu perkara yang dibenci rakyat (hatred).

b. Melakukan sesuatu yang dilihat jijik oleh rakyat (despise).

Namun, jika terpaksa melanggar ‘pantang larang’ ini bagi mendapatkan kuasa, ia perlulah di’cover’ semula dengan kejayaan pemerintahan yang cemerlang.

Contohnya, pemerintah yang baik sepatutnya tidak memungkiri janji. Tetapi sekiranya dengan menepati janji itu akan menimbulkan ketidak-stabilan kuasa, maka janji yang ditaburkan sebelum berkuasa, dianggap sebagai janji manis sahaja.

Ini kerana, beliau merasakan bahawa seseorang pemerintah itu dihargai oleh rakyatnya, bukan hanya sekadar menepati janji, tetapi lebih kepada kejayaan yang dikecapi dalam membangunkan negara.

Baginya, tiada masalah pun untuk tidak menepati janji, asalkan negara itu berjaya dibina dan rakyat dapat menikmati faedahnya.

Maksudnya, buatlah macam mana pun, asalkan di hujungnya dapat meraih pandangan rakyat. Segalanya demi mengekalkan kuasa (survival politik).

Beliau beranggapan bahawa pemerintah itu tak cukup dengan hanya menjadi baik, tetapi mesti pandai menampakkan imej baik itu di mata rakyat. 

Menjadi seorang ahli politik yang baik itu bukanlah keutamaan. Tetapi yang utamanya mesti dilihat baik sekalipun terpaksa berlakon, atau buat buat baik.

Beliau juga beranggapan bahawa dalam dunia ‘real’, majoriti manusia itu berperangai hodoh dan buruk. Justeru, untuk menanganinya, mestilah dengan pendekatan yang hodoh dan buruk juga. 

Bahkan, bukan semua perangai hodoh dan buruk itu bukannya sepanjang masa begitu. Kadangkala ia boleh bertukar menjadi bagus, demi untuk kekal berkuasa.

Contohnya pemerintah yang kedekut terhadap rakyat. Perangai kedekut itu adakalanya bagus, kerana peruntukan dilebihkan kepada penguatkuasaan. 

Ini kerana, penguatkuasaan itu lebih perlu supaya pemerintah itu dihormati. Bahkan, ia juga melambangkan penguasaan terhadap rakyat.

Tambahan pula, beliau berteori bahawa bukanlah menjadi keutamaan untuk bahas bab baik atau buruk secara teori. Yang pentingnya ialah kesan terhadap tindakan itu.

Iaitu sesuatu tindakan itu akan menatijahkan kesan yang baik, atau kesan yang buruk. Belum tentu perbuatan yang baik itu akan menatijahkan kesan yang baik. Begitulah sebaliknya.

Kesimpulan

Idea-idea Machiavelli perlu ditimbang semula dengan menggunakan cara fikir yang betul. Mengenepikan nilai murni demi menjaga survival politik hanya akan melahirkan pemerintah atau politician yang jahat.

Politik sepatutnya difahami dengan pengurusan dan pentadbiran. Berpolitik itu maksudnya menguruskan negara. Tetapi idea beliau melahirkan dimensi politik yang salah.

Iaitu membawa maksud politik yang salah, iaitu cantas mencantas, rebut kerusi, persaingan, dan sebagainya. 

Bukan sekadar itu, orang yang menipu akan dianggap berstrategi dan licik. Orang yang benar, akan dianggap bendul.

Pemikiran ini turut melahirkan penguasa-penguasa yang jahat, dan terlalu jauh untuk melahirkan sebuah kemakmuran. Bahkan ia lebih menyuburkan permusuhan dan pertelagahan.

MUHAMMAD MUJAHID IR MOHAMMAD FADZIL – HARAKAHDAILY 7/12/2022

- Advertisement -