PERIKATAN NASIONAL alternatif payung kesatuan orang Melayu

- Advertisement -

ORANG Melayu setelah berdekad lamanya bukan hanya boleh memilih Umno sebagai parti yang berteraskan perjuangan orang Melayu sebagai pemerintah.

- Advertisement -

Malah orang Melayu mempunyai beberapa pilihan lain seperti PAS yang juga teras perjuangannya adalah perjuangan Melayu Islam.

Tambahan pula selepas kewujudan Parti Keadilan Rakyat, orang Melayu yang bersifat lebih progresif dan mahukan pembaharuan radikal mempunyai pilihan untuk memilih parti ini.

Sejak Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dan PRU15 trend perpecahan undi orang Melayu dilihat lebih jelas apabila muncul lagi Parti Pribumi Bersatu Malaysia yang juga membawa teras agenda perjuangan orang Melayu.

Jika kita imbas kembali pada tahun 2020, sebenarnya sudah wujud usaha untuk menggabungkan parti-parti Melayu yang dominan bagi membentuk sebuah kuasa pemerintahan yang lebih stabil.

Namun gabungan ini tidak bertahan lama apabila wujud perselisihan antara Barisan Nasional dan PERIKATAN NASIONAL akibat kepentingan-kepentingan tertentu.

Malah konflik ini dilihat lebih parah apabila kerajaan pemerintah yang dianggotai oleh PERIKATAN NASIONAL dan Barisan Nasional bertembung di beberapa siri pilihan raya kecil, pilihanraya negeri dan akhir sekali bertembung pada PRU15.

Hasil pertembungan ini adalah kita boleh melihat sendiri walaupun undi orang Melayu masih lagi berpecah, namun jumlah undi orang Melayu yang besar diberikan kepada PERIKATAN NASIONAL dengan jumlah kerusi yang dimenangi sebanyak 73 kerusi pada PRU15.

Jumlah undi orang Melayu yang diberikan kepada Barisan Nasional pula sangat merosot dan mereka hanya memperoleh kemenangan sebanyak 30 kerusi.

Daripada jumlah undian ini secara jelas ia sudah mencerminkan yang orang Melayu sudah hilang kepercayaan kepada Barisan Nasional, sebaliknya kepercayaan orang Melayu semakin beralih kepada PERIKATAN NASIONAL.

Keadaan ini terjadi antaranya kerana imej Barisan Nasional semakin rosak apabila mereka masih lagi dilihat mendukung pemimpin-pemimpin yang sedang terpalit dengan kes mahkamah, malah mereka masih lagi memperjuangkan nasib pemimpin yang sudah dijatuhkan hukuman oleh mahkamah.

Tambahan pula, imej Barisan Nasional bertambah buruk lagi apabila spekulasi sebelum PRU15 tentang wujud kerjasama antara Umno dengan DAP dan Anwar Ibrahim menjadi kenyataan apabila mereka menyokong Pakatan Harapan untuk membentuk kerajaan.

Tindakan Barisan Nasional menyokong Pakatan Harapan dilihat sebagai mengkhianati undi orang Melayu, dan tindakan Pakatan Harapan menerima sokongan Barisan Nasional pula, malah apabila melantik Presiden Barisan Nasional sebagai TPM dilihat curang kepada prinsip reformasi yang diangkat selama ini.

Selain itu, imej bersih PERIKATAN NASIONAL yang mengutamakan kepimpinan yang berintegriti menjadi faktor utama kepercayaan pengundi Melayu kepada PERIKATAN NASIONAL.

Keadaan ini dibuktikan oleh kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yaasin ketika menjadi Perdana Menteri dan menerajui kerajaan PERIKATAN NASIONAL, beliau tidak melantik Presiden Barisan Nasional dalam Kabinet kerana beliau masih lagi terpalik dengan kes mahkamah.

Tambahan lagi, pada PRU15 PERIKATAN NASIONAL menaruhkan calon Ahli Parlimen yang segar dan memiliki potensi besar sebagai pemimpin di masa hadapan.

Mereka yang menjadi calon dan berjaya menang pada PRU15 mewakili PERIKATAN NASIONAL dilihat memiliki latar belakang pendidikan yang baik dan kelayakan yang setanding untuk memikul tanggungjawab sebagai pemimpin negara, dan kerana inilah pengundi Melayu khususnya pengundi muda berani untuk menaruh harapan kepada PERIKATAN NASIONAL.

Sudah pasti dalam tempoh akan datang ini PERIKATAN NASIONAL akan terus menjadi pilihan utama orang Melayu secara majoriti dan undi orang Melayu daripada Barisan Nasional dan Pakatan Harapan juga akan beralih kepada PERIKATAN NASIONAL.

Kini orang Melayu tidak perlu lagi berpecah kerana wujudnya PERIKATAN NASIONAL sebagai alternatif payung kesatuan orang Melayu. – HARAKAHDAILY 7/12/2022

Penulis ialah bekas Ketua Armada Bersatu Bahagian Kepala Batas.

- Advertisement -