Kerajaan yang sangat rapuh – Presiden PAS

- Advertisement -

MARANG: “Kita kena sedar kerajaan yang ditubuh ini, satu kerajaan yang sangat rapuh, kerajaan minoriti, kerajaan yang tidak cukup jumlah majoriti,” kata Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

- Advertisement -

Justeru, katanya perlu tunggu persidangan Dewan Rakyat pada 19 Disember ini sama ada Perdana Menteri mendapat kepercayaan ahli-ahli parlimen atau sebaliknya.

“Kita tunggulah sidang Parlimen akan datang ini, adakah dia dapat kepercayaan ahli-ahli parlimen atau pun tidak.

“Kalau tidak dapat kepercayaan ahli parlimen tahan dua atau tiga minggu sahajalah. Insya-Allah kita harap begitulah,” ujarnya ketika berucap pada majlis meraikan para petugas PERIKATAN NASIONAL Pilihan Raya Umum ke-15 di kediaman Pengerusi Bersatu Negeri Terengganu, Datuk Razali Idris di Kampung Ru Muda, malam ini.

Tambahan pula, katanya apabila anggota Kabinet yang diumumkan malam ini adalah daripada kalangan mereka yang disebut oleh pemimpin Pakatan Harapan sebagai penyamun, perompak dan sebagainya.

“Apa lagi bila dilantik Menteri Kabinet yang kita dengar malam ini, yang dilantik itu semua yang dia kata, perompak, penyamun, macam-macam masa kempen pilihan raya.

“Dia lantik orang ini pula duduk dalam Kabinet. Ini yang berlaku. Jadi ini menjadi modal kepada kita, tidak mengapalah, insya-Allah. Akhirnya kita kena sabar sekejap, ini Tuhan uji,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Marang.

Beliau berkata, dalam perjuangan Rasulullah SAW pun ada ujian daripada Allah.

“Sewaktu turun ayat kepada Nabi, Nabi akan masuk ke Mekah, kemudian Nabi masuk, tidak boleh, kena sekat, selepas dua tiga tahun barulah boleh masuk sungguh. Itu Nabi, Tuhan uji macam itu.

“Kita fikir, rancang. Tuhan nak buat lebih baik lagi. Apa yang Tuhan buat lebih baik. Itu kita tunggulah. Mudah-mudahan doa orang yang kena zalim ini Allah perkenan,” ujarnya.

Datuk Seri Anwar Ibrahim malam ini mengumumkan Kabinet yang mempunyai dua Timbalan Perdana Menteri iaitu Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah serta Datuk Seri Fadillah Yusof yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi.

Beliau sebelum ini menyatakan sidang Dewan Rakyat pada 19 Disember ini adalah untuk membentangkan antara lain usul percaya kepada Perdana Menteri.

Katanya, agenda lain ialah majlis mengangkat sumpah semua ahli parlimen. – HARAKAHDAILY 2/12/2022

- Advertisement -