Pelajar Universiti Al Azhar juara Daie Muda YADIM 2022

DMY Aiman (tengah) bersama ahli keluarganya. (FOTO: YADIM)
- Advertisement -

PETALING JAYA: Pelajar Universiti Al Azhar, Mesir yang sedang bercuti daripada pengajiannya, Aiman Khair Abdul Rahman, 22, diumumkan juara program realiti, Akademi Daie Muda YADIM (ADMY) 2022.

- Advertisement -

Peserta termuda daripada empat peserta yang berjaya mara ke pentas akhir ADMY 2022, yang berlangsung di Dewan Auditorium Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa), Wisma Ungku Aziz, Kelana Jaya, di sini, malam semalam itu, sekali gus memenangi Anugerah Daie Muda Murabbi.

Sebagai juara Daei Muda YADIM (DMY) 2022, DMY Aiman membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM20,000, serta wang tunai RM15,000 (Anugerah Daie Muda Murabbi), selain tiket menunaikan umrah, bar emas, rehal Diraja Gold, produk kesihatan, piala iringan dan sijil penghargaan.

Tiga anugerah istimewa lain turut disediakan bagi peserta peringkat akhir ADMY 2022 iaitu Anugerah Tekno Daie yang dimenangi oleh DMY Nur Husna Mat Ghani, 23, dari Universiti Malaysia Terengganu), Anugerah Karyawan Daie Muda (DMY Siti Fatimah Khairuddin, 27, dari Universiti Ohio State, Amerika Syarikat), dan Anugerah Aktivis Daie Muda (DMY Muhammad Hafiz Mohamed Din, 24, dari Universiti Sultan Idris, Perak).

Sementara dua lagi peserta ADMY 2022, DMY Afeyfah Zulkipli dan DMY Muhammad Fikri Nazim Nurul Huda masing-masing diumumkan sebagai pemenang anugerah khas – Anugerah Ikon Muslimah dan Anugerah Imam Muda.

Turut sama hadir dalam program kali ini ialah Ketua Pegawai Eksekutif TV Al Hijrah, Namanzee Harris dan Presiden Angkasa, Datuk Seri Abdul Fattah Abdullah.

ADMY 2022 merupakan siri ke-empat selepas kali pertama diadakan pada tahun 2019 adalah kolaborasi YADIM dan TV Al Hijrah bagi menampil dan mengetengahkan kebolehan dan bakat 24 orang DMY yang dibimbing dan diuji untuk menjadi daie atau pendakwah dalam usia muda di negara ini.

Sejak berlangsung empat bulan lalu, ADMY 2022 bukan semata-mata program realiti, namun ia lebih bermatlamat menonjolkan proses membentuk jati diri daei yang sebenar untuk diketengahkan kepada masyarakat.

Ia membabitkan empat modul khusus yang perlu dilalui peserta iaitu pembangunan keilmuan, Islam dan budaya, kemahiran teknologi maklumat (IT) dan pengurusan dakwah.

Keempat-empat peserta yang layak ke peringkat akhir ADMY 2022 sudah ditapis sebelum menjalani ujian kemasukan di Institut Latihan Dakwah YADIM di Semungkis, Hulu Langat, Selangor. – HARAKAHDAILY 2/12/2022

- Advertisement -