Piala Dunia Qatar: Nasib pasukan menang, tapi tersingkir

Jaringan Wahbi Khazri mengejutkan Perancis
- Advertisement -

Mexico dan Tunisia mencatat kemenangan dalam perlawanan Kumpulan C dan D, tetapi kemenangan itu tidak bermakna apa-apa kerana tetap tidak layak untuk mara ke pusingan 16 terbaik Piala Dunia Qatar.

- Advertisement -

Dalam perlawanan Kumpulan C, Mexico menang 2-1 ke atas Arab Saudi, tetapi tetap tersingkir. Poland pula tewas 0-2 kepada Argentina, tetapi mara ke pusingan 16 terbaik.

Poland mengiringi Argentina kerana kelebihan jaringan mengatasi Mexico. Argentina pula membuktikan kekalahan dalam perlawanan pertama kepada Arab Saudi sudah dilupakan untuk menjuarai Kumpulan C.

Sementara itu dalam perlawanan Kumpulan D, Tunisia membuat kejutan besar dengan menewaskan juara bertahan Piala Dunia, Perancis 1-0.

Namun kemenangan itu juga tidak mencukupi kerana pada masa sama, Australia membuat kejutan menewaskan Denmark 1-0 untuk mengiringi Perancis yang muncul juara Kumpulan D.

Berdasarkan keputusan perlawanan kedua-dua kumpulan, Argentina akan menentang Australia, manakala Perancis melawan Poland dalam pusingan kalah mati

Mexico-Arab Saudi

Mexico meledak dua gol dalam tempoh lima minit pada babak kedua untuk kekal dalam saingan Piala Dunia.

Namun, kemenangan 2-1 ke atas Arab Saudi itu tidak mampu membawa mereka ke pusingan kalah mati hanya kerana perbezaan jaringan gol.

Henry Martin dan Luis Chavez menjaringkan gol selepas rehat babak pertama, namun beberapa percubaan dilakukan Mexico selepas itu berjaya diselamatkan penjaga gol Arab Saudi, Mohamed Al-Owais.

Begitupun, penyerang Arab Saudi, Sale Al-Dawsari berjaya menghidupkan saingan apabila meledak gol pada masa tambahan dan menjadikan kemenangan memihak kepada Mexico dengan 2-1.

Kegagalan Mexico amat menghampakan kerana sebelum ini, negara itu membuat tujuh penampilan di pusingan 16 terbaik Piala Dunia.

Argentina-Poland

Lionel Messi gagal menjaringkan penalti, tetapi tuah mengiringi Argentina yang mara ke pusingan 16 terakhir sebagai juara Kumpulan C selepas menewaskan Poland 2-0.

Namun, Poland mara sebagai naib juara kumpulan berdasarkan perbezaan jaringan dengan Mexico yang menewaskan Arab Saudi 2-1.

Jaringan minit ke-46 Alexis Mac Allister menamatkan kebuntuan Argentina untuk mencari gol di babak pertama. 20 minit kemudian, Julian Alvarez memberikan gol kedua kepada pasukan Amerika Selatan itu.

Sepanjang babak pertama, Argentina buntu untuk menewaskan penjaga gol, Wojciech Szczesny, termasuk menerusi sepakan penalti Messi. Ia adalah sepakan penalti ke-31 Messi yang gagal disempurnakan sepanjang kariernya.

Tendangan penalti Lionel Messi diselamatkan penjaga gol Poland, Wojciech Szczesny

Tunisia-Perancis

Pemain kelahiran Perancis, Wahbi Khazri menjaringkan gol tunggal permainan ketika Tunisia mengejutkan Perancis 1-0 di Stadium Education City.

Khazri menjaringkan gol pada minit ke-58 untuk kemenangan ketiga Tunisia dalam enam penampilan di Piala Dunia.

Namun kekalahan itu tidak menjejaskan Perancis yang sudah mengesahkan kemaraan ke pusingan kalah mati sebagai juara kumpulan berdasarkan perbezaan gol dengan Australia.

Pada aksi terakhir kumpulan itu, Perancis hampir menyamakan kedudukan di saat akhir apabila Antoine Griezmann menjaringkan gol, namun dibatalkan pengadil kerana pemain itu terlebih dulu berada di kedudukan ofsaid.

Australia-Denmark

Mathew Leckie meledak gol tunggal perlawanan bagi memastikan Australia meraih kemenangan 1-0 ke atas Denmark.

Jaringan itu melayakkan ‘Soccerroos’ mara ke pusingan 16 terbaik Piala Dunia buat kali pertama sejak tahun 2006.

Jaringan Leckie pada minit ke-60 memastikan Australia menamatkan saingan di tangga kedua Kumpulan D di belakang Perancis.

“Saya fikir pada detik itu kamu tidak boleh terlalu banyak berfikir, kamu tidak mempunyai masa untuk berfikir. Kamu tahu yang ia berlaku dengan sangat pantas, ia bola yang hebat dan saya hanya ada seorang saja yang perlu dilepasi,” kata Leckie mengenai jaringannya. – AFP/REUTERS

- Advertisement -