Maulana pesan bersuara di Parlimen sebaik mungkin

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Jerantut, Ir. Ts. Khairil Nizam Khirudin berkata, Maulana Johari berpesan kepadanya supaya bersuara dalam Parlimen dengan sebaik mungkin.

- Advertisement -

Beliau melahirkan kesyukuran dan rasa istimewanya kerana dapat bertemu dan meluangkan masa sekali lagi bersama-sama dengan Maulana Johari Al-Jenderaki.

“Berasa amat terharu dan bertuah untuk kesempatan ini. Alhamdulillah, Maulana telah menitipkan beberapa pesanan kepada saya,” katanya dalam hantaran di Facebook beliau, kelmarin.

Menurutnya, Maulana Johari menyatakan bahawa krisis yang berlaku kepada anak muda pada hari ini bukan sahaja dalam negara ini tetapi seluruh dunia iaitu krisis adab.

Tambahnya, ini kerana kebanyakan anak muda sekarang makin berkurangan adabnya

Justeru, kata Khairil, Maulana menasihatinya untuk terus bekerja mendekati anak muda kerana mudah terpengaruh dengan sesiapa yang mereka rapat.

Selain itu, ujarnya Maulana juga mengingati beliau untuk bekerja kuat dan bersungguh-sungguh berharap kepada Allah SWT

“Jika betul cara dan strategi kerja, insya-Allah ‘buahnya’ akan hadir bila tiba masanya.

“Akhir sekali, maulana berpesan kepada saya untuk bersuara dalam Parlimen dengan sebaik mungkin,” tambahnya.

Pertemuan itu, ujar beliau ditutup dengan doa daripada Maulana Johari yang menitiskan air mata semasa berdoa.

“Doakan semoga Maulana Johari dikurniakan kesembuhan dan kebahagiaan di dunia dan akhirat,” katanya yang juga Ketua Penerangan PAS Pusat.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang diadakan 19 November lalu, Khairil Nizam memenangi kerusi Parlimen Jerantut dengan majoriti 8,092 undi setelah meraih 31,701 undi.

Beliau menewaskan pesaing daripada Barisan Nasional, Datuk Mohd Zukarmi Abu Bakar yang mendapat 23,609 undi dan Datuk Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan daripada PH yang mengutip 11,444 undi.

Selain beliau, calon PERIKATAN NASIONAL turut menyapu bersih tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Parlimen Jerantut menerusi Ustaz Zuridan Md Daud (Damak), Yohanis Ahmad (Pulau Tawar) dan Ustaz Mohd Zakhwan Ahmad Badarddin (Tahan). – HARAKAHDAILY 1/12/2022

- Advertisement -