Kepercayaan akar umbi Umno yang telah dikhianati

- Advertisement -

SAYA masih ingat ketika PAS dan Umno duduk sepentas pasca PRU14. Waktu itu, Umno baru sahaja kehilangan kuasa Persekutuan dan mula mengorak langkah sebagai pembangkang. PAS menghulurkan tangan mencapai Umno yang sedang tenggelam.

- Advertisement -

Walau apa pun kritikan kita terhadap PAS dengan strategi dan pendekatannya waktu itu, fakta menunjukkan memang PAS benar-benar bersedia menerima Umno sebagai rakan sesama Islam dan melupakan sengketa dan kerja buat Umno terhadap orang PAS selama 60 tahun lebih. 

Hujahnya hanya satu iaitu membenamkan kuasa politik Pakatan Harapan khususnya DAP yang mendominasi strategi dan gerak kerja politik Pakatan Harapan. Tiada gabungan terbaik yang dapat mengalahkan Pakatan Harapan selain daripada gabungan PAS-Umno membentuk Muafakat Nasional.

Maka, banyaklah pengkaji yang mengeluarkan analisis dan statistik bahawa jika Muafakat Nasional berjaya. Malaysia akan diperintah oleh Melayu-Islam daripada PAS dan Umno. 27 kerusi panas yang dimenangi oleh Pakatan Harapan boleh dirampas mudah oleh gabungan PAS dan Umno.

Sehinggakan ada yang berseloroh bahawa jika PAS dan Umno bergabung, bubar sahaja Parlimen. Kita tidak perlu berkempen, konfem menang. Itulah keyakinan yang wujud waktu itu. Semangat mewujudkannya semakin kuat saban hari isu yang besar berlaku dalam negara sepanjang 22 bulan pemerintahan Pakatan Harapan.

Semangat ini dirasai sehingga ke akar umbi PAS dan Umno. Penyatuan ini di atas dasar ukhuwah dan kesedaran untuk mempertahankan Islam dan orang Melayu. Perkara ini yang dirasai oleh akar umbi waktu itu. Barangkali berbeza dengan apa yang dirasai oleh sebahagian elitis politik. 

Asyraf Wajdi juga menyebutkan perkara yang sama dalam ceramah ini. Kerana itu, apabila Umno mengambil langkah untuk bersama PH selepas PRU15, ianya adalah suatu tamparan yang sangat hebat buat ahli Umno dan mereka yang mengundi BN. Mereka telah dikhianati untuk perjuangan tempoh 4 tahun ini. 

Pemimpin boleh berdalih dengan bermacam helah seperti ‘pendirian no DAP adalah sebelum PRU, selepas PRU adalah berbeza’, tetapi ‘damage‘ yang berlaku kepada akar umbi Umno yang ikhlas telah pun berlaku dan kepercayaan ini tidak dapat dipulihkan dalam masa sekejap. 

Sepanjang tempoh kempen PRU15, saya yakin rata-rata jentera pilihan raya PAS tidak begitu giat menyerang BN dan Umno. Sebaliknya mereka banyak menggunakan peluru menyerang PH kerana masih mengharapkan lagi untuk Penyatuan Ummah berlaku. Semua pihak tahu, tiada gabungan yang akan mencapai majoriti mudah untuk membentuk kerajaan.

Kerana itu, ketika berkempen kita menyantuni jentera BN dengan baik dan boleh bergelak ketawa dengan mereka. Calon kita yang menziarahi khemah mereka juga dilayan dengan baik oleh jentera BN. Keakraban seperti ini susah ditemukan ketika tempoh ‘berperang’. 

Saya yakin, ramai dari kalangan ahli Umno yang sangat kecewa dengan percaturan yang dibuat oleh pemimpin yang rakus ini. Buat kalian yang kecewa, sabarlah dan berilah pengajaran kepada pemimpin yang rakus ini. Tunjukkan nilai kalian dalam Pilihan Raya DUN Tioman dan Parlimen Padang Serai. 

ABDUL RAZAK RAMLI – HARAKAHDAILY 30/11/2022

Sumber Asal: https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=pfbid02gtLzxPdDobvgwEvogB4Gs5bBhhgc8Z9z55QH1mqKWbAnJRHsDxS8RCgL9Kf7mseql&id=100001866990952&sfnsn=mo&mibextid=6aamW6 

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -