Kakitangan awam Kelantan diberi bantuan khas RM1,500

- Advertisement -

KOTA BHARU: Penjawat awam di Kelantan akan menerima ‘durian runtuh’ apabila kerajaan negeri mengumumkan bantuan khas sebanyak RM1,500 kepada mereka.

- Advertisement -

Timbalan Menteri Besar, Dato’ Mohd Amar Abdullah berkata, untuk tujuan itu kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM13 juta.

Katanya, bantuan khas berkenaan akan dibayar pada Januari 2023.

“Sumbangan berkenaan diberi sebagai menghargai jasa dan pengorbanan mereka dalam mengurus tadbir negeri sehingga kewangan Kelantan mempunyai bajet lebihan selama lima tahun berturut-turut.

“Alhamdulillah sumber kewangan kerajaan Kelantan mencatat kedudukan yang amat baik sehingga berlaku lebihan wang selepas perbelanjaan selama lima tahun berturut-turut bermula 2014.

“Atas sebab itu kerajaan negeri menghargai usaha, pengorbanan dan tanggungjawab kakitangan awam negeri,” katanya ketika mengumumkan perkara itu pada sidang DUN Kelantan hari ini.

Pada masa yang sama Mohd Amar turut memberitahu kerajaan negeri akan melaksanakan program pekerjaan jangka pendek kepada anak Kelantan yang belum mempunyai sebarang pekerjaan.

Menurutnya kerajaan negeri sedang merangka pelan tindakan khususnya lepasan institusi pengajian tinggi (IPT) untuk menyertai program terbabit.

“Dianggar 800 hingga 1,000 anak muda Kelantan akan mengikuti program tersebut bagi mengurangkan masalah pengangguran,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 30/11/2022

- Advertisement -