Menzahirkan kekuatan yang terpendam

- Advertisement -

PILIHAN Raya Umum yang ke-15 melihat hanya 11 peratus pengundi Melayu memilih Pakatan Harapan. Peratus ini lebih separuh dari sokongan pada Pilihan Raya Umum yang ke-14 iaitu 25 peratus. Justeru hanya 11 peratus orang Melayu yang memilih Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri. Justeru orang Melayu mendapat Perdana Menteri bukan pilihan mereka tetapi itulah realiti demokrasi di dalam dunia hari ini. Apabila kumpulan majoriti berjaya dipecahkan maka kumpulan minoriti akan berjaya menguasai keadaan. Keadaan di mana minoriti menentukan masa depan pentadbiran negara bukan sahaja telah berlaku di Malaysia tetapi di negara-negara lain. Yang kecil menjadi ‘kingmaker‘ kepada yang besar kerana yang besar sibuk melayani nafsu masing-masing dan dikuasai oleh perasaan dendam kesumat mereka.

- Advertisement -

Walaupun ramai yang kecewa kerana PERIKATAN NASIONAL tidak diberi peluang untuk membentuk kerajaan namun keputusan pilihan raya kali ini telah menzahirkan sesuatu yang begitu penting. Jelas sekali umat Islam telah bersatu hati untuk menolak Pakatan Harapan namun begitu mereka gagal untuk bernaung di bawah satu panji. Kegagalan ini sepatutnya menginsafkan mereka dan perlu dipastikan keadaan yang sama tidak akan berulang kembali. Tetapi sekurang-kurangnya kemungkinan berlakunya penyatuan umat Islam di negara ini bukan satu dongengan. Jika panji-panji disatukan maka sudah tentu keupayaan mereka adalah tidak terhad.

Jika orang Islam boleh bersatu hati dan bertungkus lumus ketika pilihan raya maka sudah tentu banyak yang dapat dicapai jika kesatuan dan kesungguhan ini dapat diterapkan ke dalam bidang-bidang lain. Pada pilihan raya ramai yang sanggup mengambil cuti, mengorbankan wang ringgit dan bekerja hingga ke subuh untuk memenangkan parti mereka. Semangat ini tidak dapat ditandingi oleh kaum-kaum yang lain. Alangkah baik jika semangat yang sama dapat mengalirkan ke bidang-bidang lain seperti ekonomi, pendidikan atau kebajikan.

Sebenarnya telah terbukti apabila umat Islam mengenepikan perbezaan mereka dan bersatu hati untuk mencapai sesuatu matlamat, mereka akan berjaya dengan cemerlang. Ini paling terserlah di peringkat akar umbi seperti di kampung-kampung, taman-taman dan blok-blok pangsapuri. Majlis-majlis di masjid dan surau dapat dianjurkan dengan jayanya hasil kerjasama ahli-ahli kariah yang terdiri dari mereka yang menganggotai pelbagai parti politik dan mereka yang tidak berparti. Majlis berbuka puasa, majlis hari raya, sambutan Maulidur Rasul, majlis khatam Al-Quran atau korban pada Hari Raya Aidil Adha berjaya dianjurkan di atas semangat gotong royong dan kadang-kala tanpa bantuan kerajaan atau pihak-pihak lain.

Tetapi terdapat projek-projek yang lebih besar yang bernilai beratus-ratus ribu ringgit malah berjuta-juta ringgit seperti masjid, surau atau sekolah agama rakyat yang dapat dibangunkan di atas kerjasama ahli kariah atau penduduk setempat. Mereka bersama-sama mengurus dan mencari dana untuk menjayakannya. Sekali lagi sebarang perbezaan diketepikan untuk mencapai matlamat mereka. Tetapi umat Islam sering gagal untuk mengulangi semangat seperti  ini di dalam arena politik. Mungkin kerana terdapat mereka yang berusaha bersungguh-sungguh untuk menggagalkan kesatuan yang dibimbangi menjadi ancaman kepada mereka.

Baru-baru ini gempar dengan berita mengenai kisah telur. Bukan kerana susah untuk mencari telur seperti sebelum pilihan raya tetapi tiba-tiba telur mudah untuk didapati. Berlambak-lambak tetapi diberitakan hanya boleh tahan seminggu sahaja sebelum akan menjadi busuk. Mungkin kerana ia telah disimpan lama oleh ‘cartel‘ yang didakwa wujud di atas beberapa sebab. Mungkin mengharapkan harga melambung naik. Atau mungkin juga untuk memburukkan kerajaan sebelum ini agar menaikkan kemarahan rakyat. Saya tidak tahu jawapannya dan terpulang kepada kementerian yang berkaitan untuk memberi penjelasan. Tetapi yang jelas kita sebagai pengguna terlalu mudah dipermainkan. Perkara ini bukan telah terjadi sekali, bukan terjadi beberapa kali tetapi telah terjadi banyak kali. Sepatutnya sebagai pengguna, kita yang berjuta-juta digeruni oleh para pembekal terutamanya para pembekal makanan. Tetapi bukan sahaja ini tidak berlaku malah kita pula seolah-olah menjadi hamba kepada mereka walhal mereka sedikit dan kita ramai.

Adalah satu kenyataan umat Islam tidak menguasai ekonomi negara ini dan kuasa politik juga semakin lama semakin terhakis. Hanya mereka yang dibuai mimpi tidak menyedari atau tidak cemas dengan realiti tersebut. Tetapi kuasa ekonomi bukan hanya berada pada tangan para kapitalis. Mereka bergantung kepada para pengguna untuk memasarkan produk atau perkhidmatan mereka. Pengguna memiliki kuasa membeli dan yang paling penting sekali kuasa untuk tidak membeli atau memboikot. Kita mempunyai pilihan. Mungkin kita tidak dapat menguasai pemasaran produk atau penawaran perkhidmatan dalam sekelip mata tetapi kita berupaya membuat para kapitalis melutut kepada kita jika kita bersatu hati.

Sebelum ini pernah dipopularkan kempen ‘Buy Muslim First’ atau BMF tetapi kempen yang bermula dengan begitu rancak dan agresif akhirnya berkubur tanpa batu nisan. Budaya ‘hangat-hangat tahi ayam’ ini perlu dinyahkan. Kita bukan bersikap rasis tetapi kita hanya mahu membantu peniaga dan perkhidmatan yang tidak mendapat peluang yang saksama. Kita pun tahu ramai yang menjadi mangsa diskriminasi. Jika kita tidak membantu mereka, siapa pula yang akan membantu? Lagipun kita perlu berpegang kepada konsep ‘jika kamu memusuhi aspirasi kami, buat apa kami menyokong kamu’. Kali ini kempen BMF ini perlu lebih agresif. Tiada siapa yang akan menolong diri kita kecuali kita sendiri. Jangan terhegeh-hegeh mengharapkan belas ihsan orang lain.

DATO’ ISKANDAR A SAMAD
Bendahari PAS Pusat – HARAKAHDAILY 30/11/2022

- Advertisement -