WHO: Istilah ‘mpox’ ganti `monkeypox’

- Advertisement -

GENEVA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengumumkan bahawa istilah baharu ‘mpox’ kini digunakan bagi menggantikan`monkeypox’, iaitu sejenis penyakit cacar monyet.

- Advertisement -

Pada awal tahun ini, WHO melancarkan proses perundingan awam untuk mencari nama baharu bagi penyakit itu dan menerima lebih 200 cadangan.

Pada Julai lalu, bandar raya New York meminta WHO menukar nama virus cacar monyet untuk mengelakkan stigma yang menyebabkan pesakit malu untuk mendapatkan rawatan.

WHO dalam satu kenyataan semalam, menyatakan bahawa pakar kesihatan global memutuskan istilah baharu itu selepas mempertimbangkan beberapa faktor seperti kesesuaian saintifik, tahap penggunaan semasa serta kebolehucapan.

Setiausaha Kesihatan dan Perkhidmatan Manusia Amerika Syarikat, Xavier Becerra, berkata negaranya merupakan antara negara yang menyokong pertukaran nama itu dan menyambut baik pengumuman itu.

“Kita mesti melakukan semua yang boleh untuk memecahkan halangan kepada kesihatan awam dan mengurangkan stigma yang dikaitkan dengan penyakit adalah langkah kritikal untuk menamatkan penyakit demam berdarah,” katanya.

WHO mempunyai mandat untuk memberikan nama baharu kepada penyakit sedia ada di bawah Klasifikasi Penyakit Antarabangsa.

Secara amnya, langkah itu bertujuan untuk mengelak daripada mengaitkan sebarang penyakit atau virus dengan negara, wilayah, haiwan atau kumpulan etnik.

Menurut laman sesawang WHO, sehingga kini, jumlah kes cacar monyet di seluruh dunia melebihi 80,000 kes. Mpox yang ditemui pada 1958 dinamakan sempena haiwan pertama yang menunjukkan gejala, kebanyakannya merebak ke negara di barat dan tengah Afrika.

Kes monkeypox yang dilaporkan di luar Afrika, dikaitkan dengan perjalanan antarabangsa atau pengimportan haiwan. Populasi dunia menjadi lebih terdedah kepada cacar monyet akibat penamatan vaksinasi cacar rutin, yang menawarkan beberapa perlindungan silang pada masa lalu.

Gejala penyakit ini dimulai dengan demam, sakit kepala, sakit otot, bengkak nodus limfa dan lelah. Ini diikuti dengan kemunculan ruam yang membentuk lepuh. Tempoh inkubasi antara pendedahan terhadap virus hingga timbulnya simptom adalah sekitar 10 hari.

Gejala-gejala tersebut biasanya akan dialami pesakit selama dua minggu. Penyakit ini menjadi endemik di bahagian Afrika Tengah dan Barat. Wabak ini biasanya berlaku membabitkan populasi di luar bandar yang menjalankan aktiviti memburu, mengendalikan dan memakan daging haiwan liar. – CNA

- Advertisement -