Suburkan era baru PERIKATAN NASIONAL

Datuk Wan Saiful Wan Jan
- Advertisement -

SAYA jarang-jarang memperinci pandangan peribadi dalam platform awam kerana sebagai Ketua Penerangan, tulisan saya selalunya dianggap mewakili parti secara rasmi. Tetapi kali ini saya mahu ambil sedikit ruang untuk menyatakan pandangan peribadi saya.

- Advertisement -

PERIKATAN NASIONAL wajib berasa bangga dengan pencapaian PRU15. Kita bukan saja mencatatkan peningkatan kerusi sehingga semua penganalisa tersalah jangka, tetapi kita juga berjaya mewujudkan gelombang kebangkitan generasi baru.

Jelas sekali bahawa generasi baru ini membuat pilihan dalam PRU15 berdasarkan garis moral dan integriti. Ini melambangkan masa depan yang baik untuk negara kita.

Saya lebih suka menggunakan perkataan “generasi baru” berbanding “anak muda”. Pendaftaran pengundi secara automatik menghasilkan jutaan pengundi baru yang bukan dari golongan muda sahaja. Bagi saya, generasi baru ini merangkumi anak muda dan juga mereka yang lebih berumur yang baru boleh mengundi kali ini.

Generasi baru inilah yang menghasilkan gelombang untuk memberikan Perikatan Nasional bilangan kerusi yang banyak. Saya sendiri menyaksikan betapa generasi baru ini berbondong-bondong menyokong PN sehingga saya mencatat majoriti yang besar di Parlimen Tasek Gelugor.

Adalah nyata bahawa generasi baru negara kita mahukan politik baru yang segar, bersih dan berintegriti. Mereka memberi keyakinan kepada PN untuk memperjuangkan dan menjayakan agenda itu.

Gabungan parti-parti dalam PN berjaya memperkukuh satu sama lain. Bersatu membawa imej dan ketrampilan kepimpinan. PAS membawa kekuatan jentera dan kelangsungan fikrah perjuangan. Gerakan, SUPP dan STAR membawa kekayaan budaya dan resam untuk membolehkan PN diterima semua.

Saling kebergantungan ini menghasilkan satu kebersamaan yang menyeluruh dan inklusif. Tidak ada satu parti dalam PN yang boleh mendakwa mereka membawa lebih banyak sumbangan. Kerana rangkaian imej, jentera, dan penerimaan semuanya diperlukan serentak. Sekiranya satu tiada, maka cacat semuanya.

Tetapi PN jangan berasa selesa dan mesti menerima hakikat bahawa masih ada ruang yang boleh diperbaiki.

Bagi saya ada enam ruang penting yang perlu diberi perhatian segera.

1. Fikrah perjuangan PN perlu terus diuar-uarkan seluas-luasnya sehingga rakyat sentiasa ingat bahawa hanya agenda prihatin, bersih dan stabil yang dijuarai oleh PN sahaja boleh menghasilkan Malaysia yang makmur dan sejahtera untuk semua.

2. Ukhuwah dan kemesraan sesama parti komponen perlu diperkukuh agar kita bergerak sederap sebagai satu ketumbukan. Generasi baru sudah muak dengan politik kepartian yang sempit.

3. Ketrampilan peribadi tokoh-tokoh yang memimpin PN perlu dipindahkan menjadi ketrampilan kelompok yang merangkumi keseluruhan parti agar tiada “hero worship” seperti yang wujud dalam parti lain.

4. Parti-parti komponen PN perlu memperbanyak ruang perkongsian kepakaran dan membina kemampuan jentera secara bersama, terutama dalam memperkasa jentera akar umbi dalam kalangan orang muda.

5. Pemimpin-pemimpin generasi baru, termasuk golongan muda dan profesional, perlu diangkat menerajui PN dengan bimbingan dan panduan daripada pemimpin lebih berpengalaman, agar parti boleh memanfaatkan idea-idea segar yang mereka bawa berlandaskan iktibar pengalaman tokoh lebih senior. Perlu ada adunan orang baru dan lama, tanpa mengenepikan sesiapa.

6. PN perlu bekerja lebih kuat untuk meyakinkan pengundi bukan Melayu dan Melayu bandar. Negara ini adalah milik semua dan PN mesti menjadi parti untuk semua lapisan rakyat.

Selepas PRU15, rakyat sudah nampak betapa Pakatan Harapan dan Barisan Nasional rosak dan hilang arah tuju. Perasuah, penyamun, kluster mahkamah, dan pendendam kepada penjawat awam sudah berkumpul dalam satu kelompok. Mereka mengidamkan kuasa dan takhta sehingga prinsip dengan mudah dilempar ke tong sampah.

Sebaliknya PN berada di tempat paling baik untuk menggantikan BN sekarang ini, dan apabila kita berjaya meraih kepercayaan kaum bukan Melayu dan Melayu bandar, kita juga boleh menggantikan PH. Rakyat sudah nampak ketegasan kita dalam memperjuangkan prinsip. Hanya kita yang layak bercakap mengenai prinsip pada hari ini.

PRU15 juga melambangkan kemunculan satu paksi baru dalam politik negara yang mengambil integriti dan semangat Islami sebagai tunjangnya. PN adalah tunjang utama paksi baru ini, dan kita perlu terjemahkannya menjadi paksi yang mencakupi rakyat berbilang kaum dan segenap lapisan umur.

Generasi baru mahukan Malaysia yang benar-benar baru. Generasi baru mahukan saf kepimpinan politik yang mendahulukan rakyat dan berprinsip.

PERIKATAN NASIONAL mesti menggalas amanah tersebut dan memperjuangkan sebuah Malaysia baru yang makmur dan sejahtera untuk semua tanpa mengira agama dan bangsa.

Ini hari kita. Ini era kita. Demi negara, jangan sia-siakan peluang ini!

WAN SAIFUL WAN JAN
29 November 2022 – HARAKAHDAILY 29/11/2022

- Advertisement -