Pagi mengejutkan peminat bola sepak Argentina

Lionel Messi kelihatan masih tidak percaya dengan kekalahan Argentina
- Advertisement -

Warga Argentina bangun awal di ibu negara, Buenos Aires untuk menceriakan pasukan mereka dalam Piala Dunia dengan bersarapan pastri dan kopi, tetapi hidangan enak itu terasa sangat pahit selepas pasukan itu mengalami kekalahan mengejut kepada Arab Saudi.

- Advertisement -

Arab Saudi yang dipandang sebelah mata menghadirkan antara kekecewaan terbesar dalam sejarah Piala Dunia dengan kemenangan 2-1 ke atas Argentina pimpinan Lionel Messi, melemahkan harapan pasukan Amerika Selatan itu untuk memenangi kejohanan itu buat kali ketiga dan yang pertama sejak Diego Maradona pada 1986.

“Ia adalah tamparan yang tidak disangka langsung, malah bagi peminat yang paling pesimis. Sekarang kita perlu bangkit dengan cepat,” kata seorang pelajar berusia 21 tahun, Nicolas Rearte.

Perlawanan yang bermula pada jam 7 pagi di Argentina, bermakna penyokong berbaris awal pagi di kedai roti untuk mendapatkan pastri medialuna mereka, manakala sekolah dan tempat kerja membenarkan pelajar dan pekerja tiba lewat untuk menonton perlawanan itu.

Peminat berkerumun ke plaza untuk menonton perlawanan yang disiarkan pada layar gergasi, bersorak apabila Messi menjaringkan gol pembukaan melalui tendangan penalti, tetapi mengeluh dan perlahan-lahan menjadi senyap ketika Arab Saudi menyumbat dua gol pantas pada separuh masa kedua.

“Secara jujur, anda tidak boleh percaya, perlawanan itu pelik dan luar biasa, tetapi itu lah bola sepak. Kami bermain dengan teruk dan baik, kami perlu melihat perlawanan seterusnya,” kata Fabian Rodriguez.

Kekalahan kepada Arab Saudi yang berada pada kedudukan 51 dalam senarai pasukan FIFA, memusnahkan pesta awal pagi bagi peminat yang menjangkakan pasukan mereka, antara pasukan pilihan sebelum kejohanan dan tidak tewas dalam 36 perlawanan berturut-turut akan kecundang.

“Arab Saudi adalah antara lawan paling mudah yang kami ada. Jadi apa yang berlaku adalah luar biasa,” kata Nicolás Tisinovich, 24, yang menonton perlawanan itu di dataran bandar.

Argentina akan menentang Mexico, Sabtu ini dan kemudian Poland dalam perlawanan kumpulan C ketika pasukan itu berusaha untuk pulih daripada kekalahan perlawanan pertama, senario sama ketika Piala Dunia di Itali pada 1990. Walaupun Argentina tewas kepada Cameroon dalam perlawanan itu, tetapi berjaya layak ke final.

Di jalan-jalan sekitar Buenos Aires, kebanyakan peminat cuba memahami apa yang telah berlaku.

“Ini adalah kejutan bagi semua orang di sini yang menonton perlawanan itu. Ya, saya boleh mentakrifkannya dengan satu perkataan: kejutan,” kata Mauel Carabajal, 41. – HARAKAHDAILY 23/11/2022

- Advertisement -