Ustaz Latiff disenangi Melayu, rapat dengan Cina dan India

- Advertisement -

KUALA KRAI: Yang Dipertua PAS Kuala Krai Abdul Latiff Ab Rahman bukan sahaja disenangi masyarakat Melayu, sebaliknya mempunyai hubungan rapat dengan kaum Cina dan India.

- Advertisement -

Beliau juga ada pengalaman dua penggal sebagai Adun Mengkebang sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) 14. Dan pernah dilantik sebagai Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN).

Sepanjang berkhidmat sebagai ahli parlimen beliau acap kali membawa suara rakyat di Dewan Rakyat termasuk kemudahan infrastruktur yang masih ketinggalan.

Malah beliau acap kali mendesak Kerajaan Persekutuan membina jalan dan jambatan bagi kemudahan rakyat.

Perjuangan beliau akhirnya menjadi kenyataan apabila projek pembinaan jambatan Kuala Nal-Pasir Kelang yang merentangi Sungai Kelantan dilulus Kerajaan Pusat.

Projek jambatan tersebut melibatkan kos kira-kira RM25 juta sepanjang 100 meter sedang giat dibina sekarang.

Mengambil kira jasa dan keringatnya kepada rakyat di Kuala Krai, orang ramai melihat Abdul Latiff tidak menghadapi laluan sukar untuk mempertahankan parlimen Kuala Krai.

Seorang penduduk Wee Eng Hoe, 56 dari Batu Jong berkata, Ustaz Latiff seorang pemimpin yang prihatin dan cakna kepada rakyat.

“Ustaz cukup cakna dan menambat hati orang ramai. Itu merupakan kelebihan berbanding calon-calon lain yang bertanding di kerusi Parlimen Kuala Krai.

“Beliau seorang yang peramah dan mudah mesra dengan sesiapa sahaja tanpa mengira bangsa atau keturunan. Ustaz juga cepat mengambil tindakan menangani masalah rakyat.

Lo Goik Chin, 38 dari di Guchil pula berkata, Ustaz Latiff kerap turun padang dan sentiasa hadir dalam setiap program anjuran kerajaan atau aktiviti masyarakat.

Mohd Zaki Ibrahim, 45, dari Manek Urai pula memberitahu calon PERIKATAN NASIONAL (PN) itu mudah ditemui sekiranya tiada sidang di Dewan Rakyat.

Pada PRU kali ini Abdul Latiff dicabar Mohamed Zulkepli Omar (BN), Mohd Hisyamuddin Ghazali (PH) dan Norashikin Che Omar (Pejuang). – HARAKAHDAILY 13/11/2022

- Advertisement -