Tiada halangan Mumtaz bertanding walau masih Exco negeri

- Advertisement -

PASIR MAS: Tidak timbul masalah berhubung kelayakan Datuk Mumtaz Md Nawi sebagai calon kerusi Parlimen Tumpat biarpun beliau masih menerima gaji sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Kebajikan Kelantan.

- Advertisement -

Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata parti itu sudah menerima nasihat perundangan sebelum Mumtaz dicalonkan untuk bertanding mewakili Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Malah, Takiyuddin yang juga Menteri Tenaga dan Sumber Asli, berkata proses penamaan calon Mumtaz diterima Pegawai Pengurus Pilihan Raya (RO) bertugas pada Sabtu lepas.

“Pokoknya apabila RO terima pencalonan, kira dah terimalah. Jadi macam saya sendiri pun sekarang bergaji lagi sebagai menteri caretaker tetapi pandangan perundangan menunjukan bahawa jawatan-jawatan itu bukan jawatan office of profit).

“Sebab itulah SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) menerima, jadi tak timbullah YB Mumtaz seorang,” katanya pada sidang media selepas meninjau persiapan akhir pengoperasian solar danau Tok Uban, di sini hari ini.

Mumtaz yang juga Ahli Dewan Undangan (ADUN) Demit bakal berdepan cabaran getir berdepan penyandang kerusi Parlimen Tumpat yang juga bekas rakannya dalam PAS Datuk Che Abdullah Mat Nawi yang akan bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN) sebagai calon langsung.

Selain Mumtaz dan Che Abdullah, turut bersaing merebut kerusi Parlimen Tumpat ialah Che Mohd Asemari Che Ali (Putra), Wan Johari Wan Omar (PH-Amanah) dan Khairul Azuan Kamarrudin (Warisan). – BERNAMA

- Advertisement -